LIKE Kami di Facebook

Sunday, November 25, 2012

HOrmaTi GuRu

Guru adalah insan yang sangat besar jasanya kepada kita semua. Sebut sahaja perkataan guru, cikgu, mursyid dan apa jua yang sama dengannya, pasti akan terbayang difikiran seseorang yang mengajar ilmu, menunjukkan kesalahan, memberi nasihat, latihan dan panduan.
Pendek kata mereka adalah insan yang menunjukkan kita sesuatu ilmu yang membuatkan kita yang asalnya tidak tahu, menjadi tahu.  Tanpa guru siapalah kita pada hari ini. Jika kita bergelar doktor, peguam, jurutera dan saintis, itu semua adalah hasil daripada didikan guru-guru kita sejak kita tadika, sekolah dan universiti. Merekalah yang membentuk kita menjadi seperti sekarang.
Islam amat menitikberatkan adab seorang murid terhadap gurunya. Adalah menjadi suatu kewajiban bagi kita untuk hormat kepada guru meskipun mereka tidak lagi mengajar kita. Seorang guru sudah pasti mempunyai pengetahuan yang tinggi tentang sesuatu bidang sehingga mampu mengajar orang lain. Oleh sebab itulah menghormati mereka adalah dituntut oleh syarak sebagaimana firman Allah S.W.T :
"Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu."(An-Nisa' :59)
Pernah diceritakan tentang Imam Syafie menghormati gurunya. Pada suatu hari, sedang beliau memberi kuliah kepada ribuan pelajar-pelajarnya, masuklah seorang badwi yang amat comot serta amat busuk sekali.
Melihat sahaja badwi itu masuk, Imam Syafie lantas berhenti daripada memberi kuliah dan mendekati badwi itu serta memeluknya dengan erat. Tergamam anak muridnya melihat perlakuan Imam Syafie itu. Selesai sahaja memberi kuliah, maka bertanyalah anak muridnya kepada Imam Syafie mengapa beliau memeluk badwi tersebut.
Imam Syafie berkata bahawa walaupun badwi itu busuk dan comot, tetapi badwi itu ialah gurunya. Sebab itu dia memeluk badwi tersebut sebagai cara menghormati guru. Makin terpegun pelajar-pelajarnya apabila diberitahu tentang badwi yang jahil itu menjadi guru Imam Syafie.
Jawab Imam Shafie " Pada suatu hari, sedang aku menulis kitab fekah , aku mempunyai satu masalah iaitu bagaimanakan nak mengenali dan membezakan di antara anjing yang cukup umur dengan anjing yang belum cukup umur. Lalu aku fikir tentu badwi tau kerana badwi banyak memelihara anjing untuk mengawal kambing-kambing mereka.
Aku pun bertanya hal tersebut kepada badwi yang ku peluk tadi. Badwi itu menerangkan bahawa anjing yang cukup umur mengangkat sebelah kaki belakang apabila kencing, manakala anjing yang tidak cukup umur tidak mengangkat kakinya bila kencing. Dengan panduan badwi itulah, maka aku dapat menyiapkan kitabku itu" Begitulah ceritanya. Walaupun terlalu sedikit jasa badwi itu kepadanya, Imam Shafie amat menghargainya dan menghormati sehingga menggelarnya guru.
Rasulullah s.a.w bersabda:
" Tidak termasuk umatku, orang yg tidak hormat orang tua, tidak mengasihi orang muda dan tidak mengiktiraf orang alim di antara kami." (Riwayat Ahmad)
Kebelakangan ini, pelajar kurang mengambil berat soal hormat-menghormati dengan guru. Sudah menjadi sesuatu yang biasa bagi pelajar yang melawan guru malah ada yang berani mencederakan guru yang mengajarnya ilmu. Hal ini amat bercanggah dengan adab pelajar dalam Islam. Saidina Ali juga pernah berkata, "Barang siapa yang mengajar aku walaupun satu huruf maka dia adalah tuan kepada ku." Tuan yang dimaksudkan oleh Saidina Ali adalah gurunya.
Terdapat banyak cara menghormati guru kita. Jika ilmuan terdahulu yang terkenal dengan ketokohan ilmunya menghormati guru mereka, maka mengapa kita yang tidak menjadi tokoh dan ilmuan berani melanggar adab berguru.
Adab ulama salaf dan ilmuan terdahulu dengan guru mereka ialah Mereka merendah diriterhadap ilmu dan guru dan sentiasa menurut perintah serta nasihat guru dan sentiasa meminta pendapat serta pandangan  guru dalam setiap urusan mereka.
Mereka mentaati setiap arahan serta bimbingan guru umpama seorang pesakit yang tidak tahu apa-apa yang hanya mengikut arahan seorang doktor pakar yang mahir. Mereka juga sentiasa berkhidmat untuk guru-guru mereka dengan mengharapkan keredhaan dan balasan pahala serta kemuliaan di sisi Allah s.w.t.
Ulama terdahulu tidak pernah sama sekali menggelar guru mereka dengan nama yang buruk. Bahkan mereka juga tidak pernah memanggil guru dengan panggilan "engkau" dan"awak".  Al-Khatib berkata: Hendaklah dia berkata "Wahai guru, apakah pendapat kamu mengenai hal ini?" dan kata-kata seumpamanya. Dan tidak menggelarkannya dengan namanya kecuali disertakan dengan gelaran-gelaran yang menunjukkan penghormatan serta takzim kepadanya. Misalnya syeikh ataupun ustaz atau syeikh kami.
Mereka tidak sekali-kali berbantah-bantah ataupun berlawan cakap dengan guru. Sesungguhnya berbantah-bantah itu secara umumnya sudah merupakan suatu perbuatan yang keji dan terlarang, apatah lagi untuk berbantah-bantah dengan guru yang merupakan pembimbing serta qudwah. Perbuatan ini akan menjauhkan mereka sebagai pelajar daripada kebaikan dan merupakan penjerumus kepada kejahatan dan ianya adalah penyebab diharamkan ke atas mereka bermacam-macam bentuk kebaikan.
Jika mereka berhajat kepada guru mereka di luar waktu mengajar sedangkan guru tersebut sedang berehat ataupun tidur, maka guru itu tidak akan diganggu. Mereka akan menunggu sehingga guru tersebut terjaga dari tidur ataupun selesai dari berehat. Ibnu 'Abbas r.a pernah mendatangi salah seorang daripada sahabat Rasulullah s.a.w untuk bertanya kepadanya mengenai suatu hadith. Lalu dikatakan kepadanya: Dia sedang tidur. Maka duduklah Ibnu 'Abbas di muka pintu. Lalu dikatakan kepadanya: Tidak perlukah kita mengejutkannya? Ibnu 'Abbas pun menjawab: Jangan.
Begitulah hormatnya ulama' dan ilmuan Islam terdahulu. Disebabkan itulah mereka menjadi tokoh besar dan dihormati pula sehingga kini kerana mereka begitu menjaga adab dengan guru masing-masing. Semoga kita semua termasuk dalam kalangan mereka yang menghormati guru. insyaAllah.

Read more...

Kerana Sedekah Sekupang

"Adik payung ni berapa harga?" tanya ku kepada adik penjaga gerai.
"Satu RM14.90 kak" jawabnya.
"ok lah akak nak beli satu yang ini" sambil tangan ku memegang payung berwarna hijau.
Lalu 2 keping note merah kuhulurkan kepadanya, dan baki RM5.10 dihulurkan kembali kepada ku,namun aku kembalikan 10sen (sekupang dalam bahasa utaranya) kepadanya.
"Ambillah dik akak sedekah sekupang ni". Bagiku yang penting aku dapat payung untuk mengambil anakku dari kelas mengaji al-quran. kebetulan tanpa ku sangka hujan turun mencurah-curah hari itu.
Selepas mengambil anak, aku bercadang untuk ke gerai seberang jalan untuk membeli makanan tengah hari, namun dijadikan cerita gerai makanan tersebut ditutup kepada orang ramai kerana para pekerjanya sibuk menyiapkan tempahan. Sesampai aku di hadapan gerai makanan tersebut, seorang pekerja menyapa ku,
"kak kita tak buka untuk hari ini, tapi bos saya kata kalau akak nak beli jugak menu yang sama dengan tempahan ada lebihan". Salah seorang pekerja di situ bertanya kepadaku.
"Lauk asam pedas ikan parang, sayur kacang goreng dan sambal belacan saja menunya." Dia memberitahu
"Hmm Bolehlah dik, bungkus dua", kata ku.
Setelah bungkusan bertukar tangan lalu kutanyakan berapa harganya.
"Kak, bos saya kata tak payah bayar dia sedekahkan makanan ini untuk akak dan anak akak". Terpana aku seketika, Alhamdullillah rezeki bisik hatiku.
Sepanjang perjalannan balik peristiwa itu bermain-main dibenak fikiran ku. Pelbagai persoalan yang timbul, mungkinkkah kerana sedekah sekupang ku Allah gandakan balasannya dan ia dibayar tunai. Subhanallah...Alhamdullillah... Nikmat apa yang hendak didustakan lagi?
Aku teringat pada sabda junjungan yang pernah ku baca di laman rasmi Jabatan Kemajuan Islam dulu. 
Sesungguhnya Rasulullah SAW telah bersabda :
"Harta tidak akan berkurang dengan sedekah. Dan seorang hamba yang pemaaf pasti akan Allah tambahkan kewibawaan baginya"
(Hadis Riwayat Muslim)
Sedekah ini umpama pelaburan jangka panjang (long term investment) kerana Allah telah menjanjikan Lima kebaikan di dunia dan lima kebaikan di Akhirat iaitu; 5 kebaikan di dunia
1. Menyucikan harta
2. Menyucikan badan
3. Menolak bala dan penyakit
4. Mengembirakan orang miskin dan mengembirakan orang mukmin
5. Diberi keberkatan keatas hartanya dan diluaskan Allah rezekinya

Manakala 5 kebaikan di Akhirat pula ialah :
1. DinaungkanAllah orang yang bersedekah di hari Qiamat ketika sangat panas
2. Ringan hisabnya
3. Berat timbangannya (amalan) diakhirat
4. Mudah melalui titian siratal-mustaqim
5. Bertambah darjatnya di dalam syurga
Apa yang aku pelajari dari peristiwa ini untuk bersedekah tidak memerlukan wang atau harta yang banyak sebagaimana Sabda Rasulullah SAW :
"Bersedekahlah kamu sekalian, meskipun dengan hanya sebiji tamar, sesungguhnya sedekah itu dapat memenuhi keperluan orang yang lapar dan menghapuskan kesalahan, sebagaimana air dapat memadamkan api"
(Hadis Riwayat Imam Ahmad)
Paling penting hati kita mestilah melakukan dengan ikhlas kerana Allah.
Peristiwa yang telah aku lalui itu betul-betul membekas dihati kerana sedekah sekupang aku dapat makanan untuk dua orang. Sesungguhnya bersedekah itu indah, ayuh sahabat sekalian marilah kita membanyakkan sedekah kerana Allah.

Read more...

Monday, October 29, 2012

Cara Syaitan Membuka Aurat Wanita



        Syaitan dalam menggoda manusia memiliki berbagai cara strategi, dan yang sering dipakai adalah dengan memanfaatkan hawa nafsu, yang memang memiliki kecenderungan mengajak kepada keburukan (ammaratun bis su'). Syaitan seakan mengetahui kecenderungan nafsu kita, dia terus berusaha agar manusia keluar dari garis yang telah ditentukan Allah, termasuk melepaskan hijab atau pakaian muslimah.

Berikut adalah cara bertahap:

I. Menghilangkan Definisi Hijab

Dalam tahap ini syaitan membisikkan kepada para wanita, bahawa pakaian apapun termasuk h
ijab (penutup) itu tidak ada kaitannya dengan agama, ia hanya sekadar pakaian atau gaya hiasan bagi para wanita. Jadi tidak ada pakaian syar'i, pakaian, dengan apa pun bentuk dan namanya tetap pakaian.

Sehingga akibatnya, ketika zaman telah berubah, atau kebudayaan manusia telah berganti, maka tidak ada masalah pakaian ikut ganti juga. Demikian pula ketika seseorang berpindah dari suatu negeri ke negeri yang lain, maka harus menyesuaikan diri dengan pakaian penduduknya, apapun yang mereka pakai. Berbeza
halnya jika seorang wanita berkeyakinan, bahawa hijab adalah pakaian syar'i (identiti keislaman), dan memakainya adalah ibadah bukan sekadar gaya ( fesyen ). Biarpun hidup bila saja dan di mana saja, maka hijab syar'i tetap dipertahankan. .

Apabila seorang wanita masih bertahan dengan prinsip hijabnya, maka syaitan beralih dengan strategi yang lebih halus. Caranya?

Pertama, Membuka Bahagian Tangan

Telapak tangan mungkin sudah kebiasaannya terbuka, maka syaitan membisikkan kepada para wanita agar ada sedikit peningkatan model yakni membuka bahagian hasta (siku hingga telapak tangan). "Ah tidak ! apa-apa, kan masih pakai jilbab dan pakai baju panjang? Begitu bisikan syaitan. Dan benar si wanita akhirnya memakai pakaian model baru yang menampakkan tangannya, dan ternyata para lelaki melihatnya juga seperti biasa saja. Maka syaitan berbisik," Tu.. tidak apa-apa kan?

Kedua, Membuka Leher dan Dada

Setelah menampakkan tangan menjadi kebiasaan, maka datanglah syaitan untuk membisikkan perkara baru lagi. "Kini buka tangan sudah menjadi lumrah, maka perlu ada peningkatan model pakaian yang lebih maju lagi, yakni terbuka bahagian atas dada kamu." Tapi jangan sebut sebagai pakaian terbuka, hanya sekadar sedikit untuk mendapatkan hawa, agar tidak panas. Cubalah! Orang pasti tidak akan peduli, sebab hanya sebahagian kecil sahaja yang terbuka.

Maka dipakailah pakaian fesyen terbaru yang terbuka bahagian leher dan dadanya dari yang fesyen setengah lingkaran hingga yang fesyen bentuk huruf "V" yang tentu menjadikan lebih terlihat lagi bahagian sensitif lagi dari dadanya.

Ketiga, Berpakaian Tapi Telanjang

Syaitan berbisik lagi, "Pakaian mu hanya gitu-gitu saja, yak "cool" cari fesyen atau bahan lain yang lebih bagus! Tapi apa ya? Si wanita berfikir. "Banyak fesyen dan kain yang agak tipis, lalu bentuknya dibuat yang agak ketat biar lebih sedap/cantik dipandang," syaitan memberi idea baru.

Maka tergodalah si wanita, dicarilah fesyen pakaian yang ketat dan kain yang tipis bahkan transparent. "Mungkin tak ada masalah, kan potongan pakaiannya masih panjang, hanya bahan dan fesyennya saja yang agak berbeza, biar nampak lebih feminin," begitu dia menokok-nambah. Walhasil pakaian tersebut akhirnya membudaya di kalangan wanita muslimah, makin hari makin bertambah ketat dan transparent, maka jadilah mereka wanita yang disebut oleh Nabi sebagai wanita
kasiyat 'ariyat (berpakaian tetapi telanjang).

Keempat, Agak di Buka Sedikit 

Setelah para wanita muslimah mengenakan pakaian yang ketat, maka syaitan datang lagi. Dan sebagaimana biasanya dia menawarkan idea baru yang sepertinya "cool" dan "vogue", yakni dibisiki wanita itu, "Pakaian seperti ini membuat susah berjalan atau duduk, soalnya sempit, apa tak sebaiknya di belah hingga lutut atau mendekati paha?" Dengan itu kamu akan lebih selesa, lebih kelihatan lincah dan energik." Lalu dicubalah idea baru itu, dan memang benar dengan dibelah mulai dari bahagian bawah hingga lutut atau mendekati paha ternyata membuat lebih selesa dan leluasa, terutama ketika akan duduk atau naik kenderaan. "Yah.... tersingkap sedikit tak apa-apa lah, yang penting enjoy," katanya.

Inilah tahapan awal syaitan merosak kaum wanita, hingga tahap ini pakaian masih tetap utuh dan panjang, hanya fesyen, corak, potongan dan bahan saja yang dibuat berbeza dengan hi! jab syar'i yang sebenarnya. Maka kini mulailah syaitan pada tahap berikutnya.

II. Terbuka Sedikit Demi Sedikit

Kini syaitan melangkah lagi, dengan tipu daya lain yang lebih "power", tujuannya agar para wanita menampakkan bahagian aurat tubuhnya.

Pertama, Membuka Telapak Kaki dan Tumit

Syaitan Berbisik kepada para wanita, "Baju panjang benar-benar tidak selesa, kalau hanya dengan membelah sedikit bahagiannya masih kurang leluasa, lebih elok kalau dipotong sahaja hingga atas mata kaki." Ini baru agak longgar. "Oh...... ada yang yang terlupa, kalau kamu pakai baju sedemikian, maka jilbab yang besar tidak sepadan lagi, sekarang kamu cari jilbab yang kecil agar lebih serasi dan sepadan, ala....... orang tetap menamakannya dengan jilbab."

Maka para wanita yang terpengaruh dengan bisikan ini terburu-buru mencari fesyen ! pakaian yang dimaksudkan. Tak ketinggalan kasut tumit tinggi, yang kalau untuk berjalan, dapat menarik perhatian orang.

Kedua, Membuka Seperempat Hingga Separuh Betis

Terbuka telapak kaki telah biasa ia lakukan, dan ternyata orang yang melihat juga tidak begitu ambil peduli. Maka syaitan kembali berbisik, "Ternyata kebanyakan manusia menyukai apa yang kamu lakukan, buktinya mereka tidak ada reaksi apa-apa, kecuali hanya beberapa orang. Kalau langkah kakimu masih kurang leluasa, maka cubalah kamu cari fesyen lain yang lebih menarik, bukankah kini banyak skirt separuh betis dijual di pasaran? Tidak usah terlalu terdedah, hanya terlihat kira-kira sepuluh centimetre saja." Nanti kalau sudah biasa,
baru kamu cari fesyen baru yang terbuka hingga separuh betis."

Benar-benar bisikan syaitan dan hawa nafsu telah menjadi penasihat peribadinya, sehingga apa yang saja yang dibisikkan syaitan dalam jiwan! ya dia turutkan. 
Maka terbiasalah dia memakai pakaian yang terlihat separuh betisnya kemana saja dia pergi. 

Ketiga, Terbuka Seluruh Betis

Kini di mata si wanita, zaman benar-benar telah berubah, syaitan telah berhasil membalikkan pandangan jernihnya. Terkadang si wanita berfikir, apakah ini tidak menyelisihi para wanita di masa Nabi dahulu. Namun bisikan syaitan dan hawa nafsu menyahut, "Ah jelas tidak, kan sekarang zaman sudah berubah, kalau zaman dulu para lelaki mengangkat pakaiannya hingga setengah betis, maka wanitanya harus menyelisihi dengan menjulurkannya hingga menutup telapak kaki, tapi kini lain, sekarang banyak lelaki yang menurunkan pakaiannya hingga bawah mata kaki, maka wanitanya harus menyelisihi mereka iaitu dengan mengangkatnya hingga setengah betis atau kalau perlu lebih ke atas lagi, sehingga nampak seluruh betisnya." 

Tetapi? apakah itu tidak menja! di fitnah bagi kaum lelaki," bersungut. "Fitnah? Ah...... itu kan zaman dulu, di masa itu kaum lelaki tidak suka kalau wanita menampakkan auratnya, sehingga wanita-wanita mereka lebih banyak di rumah dan pakaian mereka sangat tertutup. Tapi sekarang sudah berbeza, kini kaum lelaki kalau melihat bahagian tubuh wanita yang terbuka, malah senang dan mengatakan ooh atau wow, bukankah ini bererti sudah tidak ada lagi fitnah, kerana sama- sama suka? Lihat saja fesyen pakaian di sana-sini, dari yang di pasar malam hingga yang berjenama di pusat membeli belah, semuanya memperagakan fesyen yang dirancang khusus untuk wanita maju di zaman ini. Kalau kamu tidak mengikutinya, akan menjadi wanita yang ketinggalan zaman."
 

Demikianlah, maka pakaian yang menampakkan seluruh betis akhirnya menjadi kebiasaan, apalagi ramai yang memakainya dan sedikit sekali orang yang mempersoalkannya. Kini tibalah saatnya syaitan melancarkan tahap terakhir dari tipu dayannya untuk melucuti hijab wanita.
 

III. Serba Mini

Setelah pakaian yang menampakkan betis menjadi pakaian sehari- harian dan dirasa biasa-biasa saja, maka datanglah bisikan syaitan yang lain. "Pakaian memerlukan variasi, jangan yang itu-itu saja, sekarang ini fesyen skirt mini, dan agar sepadan, rambut kepala harus terbuka, sehingga benar-benar kelihatan indah." 

Maka akhirnya skirt mini yang menampakkan bahagian bawah paha dia pakai, bajunya pun bervariasi, ada yang terbuka hingga lengan tangan, terbuka bahagian dada sekaligus bahagian punggungnya dan berbagai fesyen lain yang serba pendek dan mini. Koleksi pakaiannya sangat beraneka ragam, ada pakaian untuk berpesta, bersosial, pakaian kerja, pakaian rasmi, pakaian malam, petang, musim panas, musim sejuk dan lain-lain, tak ketinggalan seluar pendek separuh paha pun dia miliki, fesyen dan warna rambut juga ikut bervariasi, semuanya telah dicuba. Begitulah sesuatu yang sepertinya mu! stahil untuk dilakukan, ternyata kalau sudah dihiasi oleh syaitan, maka segalanya menjadi serba mungkin dan diterima oleh manusia.
 

Hingga suatu ketika, muncul idea untuk mandi di kolam renang terbuka atau mandi di pantai, di mana semua wanitanya sama, hanya dua bahagian paling ketara saja yang tersisa untuk ditutupi, kemaluan dan buah dada. Mereka semua mengenakan pakaian yang sering disebut dengan "bikini". Kerana semuanya begitu, maka harus ikut begitu, dan na'udzubillah bisikan syaitan berhasil, tujuannya tercapai, "Menelanjangi Kaum Wanita."
 

Selanjutnya terserah kamu wahai wanita, kalian semua sama, telanjang di hadapan lelaki lain, di tempat umum. Aku berlepas diri kalau nanti kelak kalian sama-sama di neraka. Aku hanya menunjukkan jalan, engkau sendiri yang melakukan itu semua, maka tanggung sendiri semua dosamu" Syaitan tak ingin ambil risiko.
 


Semoga input-input yang diatas dapat dijadikan panduan dan kesedaran kepada anda semua…terutamanya buat para muslimah di atas bumi yang fana ini.
Setiap manusia pernah melakukan kesilapan, setiap manusia juga berhak bertaubat kerana ALLAH itu Maha Pengampun.



Read more...

Kritikan Sosial- Drama Melayu

Semalam zawjah saya menonton masterchef Malaysia musim ke-2. Tetapi semasa iklan, zawjah saya akan menukar ke TV3, curi-curi tonton drama bertajuk Perginya Doa Ibu. Selepas masterchef musim ke-2 tamat, cerita di TV3 belum tamat. Kami menontonnya hingga habis.
Apa yang saya boleh ungkapkan daripada cerita Perginya Doa Ibu ini, adalah satu keterkilanan yang besar sebenarnya. Ya. Sebelum itu, saya baru sahaja menonton Drama bertajuk Panggilan Baitullah lakonan Fahrin Ahmad. Drama itu juga memberikan kekecewaan yang teramat kepada saya.
Semenjak saya sekolah menengah, saya memang tidak gemar menonton drama dan filem melayu. Kerana saya tidak nampak mesejnya. Kabur. Jalan cerita tidak menarik. Ending tidak memuaskan. Apa yang lebih memberikan keterkilanan kepada saya adalah, unsur-unsur percampuran Aqidah yang dibawa di dalam drama dan filem tersebut.
Menonton Perginya Doa Ibu dan Panggilan Baitullah membuatkan saya jadi menyesal menyudikan diri menonton drama melayu pada kali ini, dan mungkin saya tidak akan menyentuhnya buat satu jangka masa yang agak lama lagi.
Kritikan 1: MATI.
Cerita Perginya Doa Ibu dan Panggilan Baitullah pada saya hakikatnya adalah cerita yang cuba menginsafkan penontonnya dari perbuatan yang tidak baik. Jika di dalam Perginya Doa Ibu, yang cuba dibawakan adalah seorang perempuan bermulut celupar dan amat berbangga-bangga dengan kekayaannya, manakala di dalam Panggilan Baitullah menceritakan seorang lelaki kaya yang riya’ dengan kemampuannya pergi haji berkali-kali serta suka menunjuk-nunjuk amal kebaikannya.
Mengiringi watak utama di dalam kedua-dua cerita ini adalah ‘watak baik’. Jika di dalam Perginya Doa Ibu, Ibu kepada perempuan bermulut celupar menjadi watak baiknya, manakala di dalam Panggilan Baitullah, watak Fahrin Ahmad menjadi watak baiknya. Merekalah yang mendorong watak utama kembali ke jalan kebenaran dan insaf.
Tetapi apa yang mengecewakan saya adalah, kedua-dua watak Ibu dan Fahrin Ahmad di dalam kedua-dua drama itu endingnya adalah mereka mati. Saya hairan mengapa mereka dimatikan tanpa sebab yang munasabah. Fahrin Ahmad dimatikan di dalam sujudnya yang sedang beristikharah, manakala Ibu kepada perempuan bermulut celupar dimatikan ketika sedang melaksanakan Haji.
Saya tidak faham, mengapa mereka mesti MATI?
Apa moralnya?
Di manakah kebaikannya?
Apa gunanya kepada positiveness jalan cerita dan mesej kebaikan?
Tiada.
Namun ianya sekadar menjadikan cerita lebih berair mata, dramatik, semata-mata. Ianya pada saya ibarat filem aksi yang ada tembak menembak rambang di sana sini,  letupan berdentam dentum di sana sini, tetapi tidak memberikan mesej kepada cerita. Sekadar aksi sahaja.
Mengapa mesti MATI? Saya tidak faham.

Kritikan 2: Hantu.
Malaysia kini dilambakkan dengan dua perkara. Gengster dan Hantu. Hingga akhirnya saya kira, itulah sebabnya Namewee membikin filem bertajuk Hantu Gengster. Filem yang sangat mengecewakan pada saya kerana semua agama diletakkan pada taraf yang sama, ditambah pula hantunya terdiri dari Melayu, Cina dan India, yang sama-sama dikejar ‘Polis Hantu’. Sedangkan, kita di dalam Islam sama sekali tidak dibenarkan mempermainkan aqidah kita, dan kehidupan selepas mati adalah sebahagian daripada Aqidah kita. Begitulah Hantu Kapcai dan sebagainya. Sangat-sangat mengecewakan.
Tambah mengecewakan saya apabila drama yang cuba memberikan keinsafan turut bermain dengan watak hantu(atau nama lebih baik sedikit untuk drama sedemikian adalah roh).
Di dalam Drama Perginya Doa Ibu itu, digambarkan bagaimana Ibu yang telah mati, rohnya pulang menemui anak perempuannya yang diazab Allah SWT. Roh ibunya menyapukan air zam-zam ke mulut anaknya yang bernanah diazab Allah itu, kemudian anaknya sembuh, azab Allah ke atasnya diangkat. Kemudian baru anak ini tahu ibunya telah meninggal.
Apa masalahnya bila buat cerita macam ini(roh pulang memberikan bantuan)?
Maka daripada orang akan nampak yang boleh bantu kita adalah roh. Justeru, kita secara tidak langsung sebenarnya memberikan galakan untuk memuja roh yang telah mati, untuk memberikan syafaat, bantuan, pertolongan kepada kita.
Sedangkan, tiada di dalam hadith yang sohih akan roh si mati pulang memberikan bantuan kepada yang masih hidup. Tidak valid langsung cerita sebegini, bahkan membawa kepada syirik.
Bukankah lebih baik jika Ibunya dijadikan benar-benar hidup, pulang dari Haji, dan menyapu air zam-zam sebagai usaha untuk mengubati anaknya itu? Mengapa mesti Ibu itu hadir dalam bentuk roh(telah mati)? Apa gunanya? Di manakah kelebihannya?
Kritikan ini tidak terkecuali dengan segala hantu yang wujud di dalam seantero dunia drama-drama serta filem melayu. Mengapa kita mesti bermain dengan roh dan hantu, baik untuk cerita seram atau cerita keinsafan? Mengapa? Tiada modal lain?

Kritikan 3: Jalan Cerita Yang Tak Menggambarkan Mesej.
Drama Melayu banyak menyelitkan cerita-cerita yang sebenarnya tidak memberikan sumbangan kepada mesej cerita. Bayangkan 2 jam penceritaan, mungkin hanya 1 jam sahaja yang bermakna kepada jalan cerita. Selebihnya hanyalah cerita-cerita lewah yang tak memberikan makna kepada mesej cerita. Dan kadangkala dirasakan pada saya ‘melebih-lebih’ sehingga menghambarkan cerita.
Cerita Panggilan Baitullah contohnya. Sepatutnya cerita itu sebaiknya ditamatkan kala Fahrin Ahmad menerangkan kebaikan yang telah dia lakukan. Namun cerita ditambah-tambah, meleret hingga ke peringkat watak Fahrin Ahmad dimatikan ketika solat istikharah.
Maka cerita itu kelihatan pelik, tergantung, dan ‘over’.
Cerita Perginya Doa Ibu pula, wujud di mana watak utama(perempuan mulut celupar) selepas menerima azab Allah, mulutnya bernanah dan tubuhnya kejung, duduk di atas kerusi roda di tepi swimming pool, kemudian diceritakan dia melihat roh ibunya berjalan. Membuatkan dia ingin memanggil-manggil ibunya hingga dia termasuk ke dalam swimming pool.
Sudahlah tak ada makna kepada jalan cerita, pakaian pelakon perempuan pula habis menjadi ketat dibasahi air hingga menunjukkan bentuk tubuhnya, yang kemudiannya dipegang sana sini oleh 2 orang lelaki(pelakon yang menjadi suaminya, dan pelakon yang menjadi abangnya dalam cerita itu), yang sah-sah bukan mahramnya di dunia realiti, untuk menyelamatkannya dari lemas dalam swimming pool itu. Sudahlah tidak penting, berdosa pula.
Lagi plot yang tidak kena adalah apabila tiba-tiba watak perempuan itu(ketika masih sihat), bermimpikan ibunya yang memohon diri ibunya diselamatkan. Diselamatkan daripada apa? Tiada siapa mengerti. Mengapa ibunya perlu diselamatkan? Tiada siapa tahu. Dan persoalan itu tiada jawapannya hingga ke hujung cerita. Tambah pelik apabila roh ibunya lah yang menyelamatkan dia dari azab siksa Allah SWT. Maka mengapa penulis skrip memasukkan mimpi itu? Kabur.
Kita akan menjumpai perkara sebegini terlalu banyak di dalam drama-drama dan filem melayu.
Pada saya, alangkah bagusnya kita buat cerita yang tidak terlalu panjang, tetapi padat. Berkesan. Sarat dengan mesej, dan meaningful. Setiap saat dan minit di dalam filem itu tidak dibazirkan untuk perkara yang sia-sia.

Penutup: Drama dan Filem Salah Satu Instrumen Pendidikan Minda Masyarakat.
Saya rasa, potensi penulis skrip(pembuat cerita) dan pengarah(yang mengarahkan perjalanan pembikinan filem/drama) telah dibazirkan di Malaysia ini apabila yang berlambaknya adalah filem-filem dan drama-drama yang sebegini. Tidak membawa apa-apa erti, bercampur baur antara kebatilan dan kebenaran.
Itu belum kita kira isu lelaki dan perempuan bukan mahram, bersentuh-sentuhan. Pelakon-pelakon yang tidak menutup aurat dan sebagainya.
Belum saya sentuh di manakah relevannya kita banyakkan filem gengster dan hantu, hingga ke tahap kita membuat drama bersiri ‘Bini-biniku Gengster’ dan pelbagai drama bersiri hantu  seperti Waris dan sebagainya(yang wataknya tak menutup aurat pun, tetapi masa nak halau hantu, tahu pula berdoa kepada Allah).
Kita kadangkala lupa betapa filem dan drama itu hakikatnya adalah salah satu instrumen pendidikan minda masyarakat. Maka apabila kita memasukkan unsur-unsur yang tidak baik di dalamnya(syirik dan sebagainya), kita sebenarnya sedang menyuntik unsur-unsur itu ke dalam masyarakat kita.
Apabila kita terlalu stereotaip(asyik-asyik watak baik mati untuk tunjukkan keinsafan kepada watak yang kurang baik), maka mesej kebaikan yang wujud di dalam cerita menjadi hambar dan orang masyarakat mula muak dengan cerita itu serta mesej kebaikannya tidak akan sampai ke hati masyarakat.
Apabila kita campurkan yang haq dan yang batil, maka masyarakat bukannya memperolehi kebaikan sebenarnya. Tetapi masyarakat hanya akan memperolehi keburukan hasil campuran haq dan batil dalam definisi kebenaran mengikut yang ditayangkan drama atau filem.

Read more...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

GURU-GURU BADAR

GURU-GURU BADAR

LUJNAH BADAR PUTERA

LUJNAH BADAR PUTERA

Jom sertai Badan Dakwah & Rohani SMKAY