LIKE Kami di Facebook

Monday, November 7, 2011

PERSOALAN IBADAT KORBAN PADA HARI RAYA AIDILADHA



alt
Pada 6 November 2011 bersamaan 10 Zulhijjah 1432, umat Islam akan menyambut Hari Raya Aidiladha bagi meraikan kejayaan sebilangan saudara seagama mengerjakan ibadat haji di Makkah. Bagi umat Islam yang tidak mengerjakan ibadat haji, lazimnya meraka akan mengadakan aktiviti kunjung-mengunjung atau rumah terbuka untuk mengeratkan tali silaturrahim sesama Islam.
Selain itu, Hari Raya Aidiladha turut disambut dengan melaksanakan ibadat korban iaitu akan disembelih binatang seperti unta, lembu atau kambing bertujuan mendekatkan diri kepada Allah SWT. Ibadat korban ini bertepatan dengan dalil al-Quran dan hadis berikut (bermaksud):
Maka dirikanlah solat kerana Tuhanmu dan berkorbanlah.
(Surah al-Kauthar: Ayat 2)
Nabi SAW telah berkorban dengan menyembelih dua ekor kibasy yang berwarna putih dan bertanduk. Baginda sendiri yang menyembelih kedua-duanya dengan menyebut nama Allah SWT dan bertakbir sambil meletakkan kakinya di atas tengkok kibasy tersebut.
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Erti Pengorbanan
Antara hikmah ibadat korban ialah untuk menghidupkan erti pengorbanan yang dilaksanakan oleh Nabi Ibrahim AS ketika Allah SWT memerintahkan Baginda menyembelih anaknya Nabi Ismail AS. Nabi Ibrahim AS tidak teragak-agak untuk melaksanakan perintah Allah SWT tersebut, tetapi Allah SWT telah menggantikan sembelihan tersebut dengan seekor kibasy. Keimanan dan kesabaran yang ditunjukkan oleh Nabi Ibrahim AS dan Nabi Ismail AS ketika melaksanakan perintah Allah SWT ini menjadikan ibadat korban mempunyai hikmah tersendiri untuk dihayati oleh setiap orang Islam.
Ukhwah Islamiah Yang Utuh
Selain itu, ibadat korban juga mengandungi pengertian untuk mendidik umat Islam agar mereka tidak melupakan golongan fakir miskin dan orang-orang yang memerlukan bantuan setelah Allah SWT berikan rezeki kepada mereka. Ibadat korban turut melahirkan kegembiraan dan perasaan kasih-sayang sesama sanak-saudara dan jiran-tetangga yang hadir untuk bersama-sama kita bergotong-royong melaksanakan ibadat korban. Dengan itu akan lahirlah sebuah ikatan persaudaraan Islam yang kuat antara individu dan masyarakat.
Hukum Ibadah Korban
Menurut majoriti ulama dan mazhab Shafie, hukum korban adalah sunat muakkad (sunat yang sangat dituntut) bagi orang Islam yang berkemampuan. Namun ia boleh menjadi wajib dengan dua sebab: Pertama, apabila seseorang itu mengisyaratkan kepada binatang miliknya yang sesuai untuk dikorbankan seperti menyatakan "ini adalah korbanku" atau "aku akan korbankan binatang ini".
Kedua, apabila seseorang itu bernazar atau mewajibkan dirinya melaksanakan korban untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT seperti menyatakan "wajib bagi aku korban kerana Allah SWT".
Binatang yang disyariatkan untuk dikorbankan adalah unta, lembu atau kambing. Selain ketiga-tiga binatang ini, tidak sah melakukan korban dengan binatang lain. Ini berdasarkan firman Allah SWT (bermaksud):
Dan bagi setiap umat kami syariatkan penyembelihan (korban) supaya mereka menyebut nama Allah terhadap binatang ternakan yang telah direzekikan Allah kepada mereka.
(Surah al-Hajj: Ayat 34)
Menurut ulama, perkataan binatang ternakan dalam ayat di atas bermaksud unta, lembu dan kambing. Selain itu, tidak pernah diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW pernah melakukan korban selain daripada tiga jenis binatang tersebut. Oleh itu, binatang paling afdhal (terbaik) ialah unta, kemudian lembu atau kerbau dan kemudian kambing.
Seekor unta atau lembu boleh dibahagikan kepada tujuh bahagian. Maka harus melaksanakan korban dengan mengambil satu bahagian daripada tujuh bahagian itu. Manakala kambing pula tidak boleh dibahagikan seperti unta dan lembu.
Waktu Korban
Waktu korban bermula selepas terbit matahari Hari Raya Aidiladha iaitu selepas dilaksanakan solat sunat hari raya dan selesai mendengar khutbah. Manakala tempoh mengadakan korban berakhir setelah terbenam matahari pada akhir haritasyrik iaitu 13 Zulhijjah. Sepanjang tempoh tersebut, umat Islam boleh melakukan korban bila-bila masa sahaja, namun korban pada waktu malam kurang digalakkan. Ini bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW (bermaksud):
Setiap hari tasyrik adalah sembelihan (waktu korban).
(Riwayat Ibn Hibban)
Daging Korban
Sekiranya korban tersebut adalah korban wajib atau nazar, maka tidak harus bagi orang yang melakukan korban dan mereka di bawah jagaannya memakan daging korban tersebut. Jika salah seorang daripada mereka memakan sedikit daging korban itu, daging korban itu hendaklah diganti semula dengan daging lain atau dibayar dengan nilaian daging yang dimakan.
Namun sekiranya korban tersebut adalah korban sunat, maka harus bagi orang yang melakukan korban itu memakan mengikut kadar yang dikehendakinya dengan syarat dia hendaklah bersedekah sedikit daripada daging korban itu. Manakala paling afdhal ialah memakan sedikit sahaja daging korban itu untuk keberkatan dan bakinya yang lain disedekahkan. Oleh itu, harus bagi orang yang melakukan korban itu memakan satu pertiga daripada bahagiannya, satu pertiga lagi disedekahkan kepada fakir miskin dan satu pertiga lagi dihadiahkan kepada sahabat-handai dan jiran-tetangga walaupun mereka orang kaya.
Daging korban yang dihadiahkan kepada orang kaya hanya boleh dimakan dan mereka tidak boleh menjualnya. Manakala daging korban yang diberikan kepada fakir miskin tidak terikat dengan syarat ini. Maka mereka boleh memakan atau menjual daging tersebut mengikut kehendak mereka.
Kulit Binatang Korban
Bagi orang yang melakukan korban, mereka boleh sedekahkan kulit binatang korban itu atau dimanfaatnya untuk dirinya sendiri. Tetapi tidak boleh dijual atau diberikan kepada penyembelih binatang korban itu sebagai upah kepada sembelihannya. Ini kerana perbuatan memberi upah dengan cara sebegitu boleh menyebabkan kekurangan pada binatang korban dan merosakkan ibadat korbannya. Namun jika pemberian tersebut bukan atas dasar upah kerana orang yang melakukan korban telah memberikan wang sebagai upah kepada penyembelih, maka pemberian kulit dan sebagainya lagi tidak menjadi kesalahan, lebih-lebih lagi penyembelih adalah orang fakir miskin. Ini bertepatan dengan hadis-habis berikut (bermaksud):
Rasulullah SAW telah memerintahkan aku (Ali RA) menyembelih unta-unta Baginda (sembelihan korban ketika haji). Baginda memerintahkan agar aku sedekahkan daging, kulit dan apa yang menutupi belakang unta-unta itu (seperti pelana dan seumpamanya). Baginda juga memerintahkan agar aku tidak memberikan kepada al-Jazzar (penyembelih dan pelapah daging) sedikit pun daripadanya.
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Barangsiapa yang menjual kulit binatang korbannya maka tiada korban baginya.
(Riwayat al-Baihaqi)
Manakala antara sunat-sunat ibadat korban seperti; disunatkan tidak menghilangkan bulu dan kuku apabila masuk 10 Zulhijjah, disunatkan orang yang melakukan korban menyembelih binatang korbannya sendiri, jika dia tidak mampu maka hendaklah dia hadir menyaksikan sembelihan itu dan disunatkan bagi pemerintah melakukan korban menggunakan harta Baitul Mal bagi pihak orang-orang Islam.
Demikianlah penjelasan ringkas mengenai persoalan yang berkaitan dengan ibadat korban yang akan dilaksanakan pada Hari Raya Aidiladha nanti. Semoga dengan penjelasan ini akan meningkatkan mutu ibadat korban kita berbanding tahun-tahun sebelumnya. InsyaAllah.
alt
PESANAN UNTUK ORANG MUDA
Menunaikan haji adalah rukun Islam yang kelima. Pergi ke sana bermaksud kita menyahut panggilan Allah SWT, yang telah dilaungkan oleh nabi-nabi terdahulu seperti Adam dan Ibrahim. Firman Allah SWT di dalam Surah al-Haj ayat 27:
"Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat Haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhan) mu dengan berjalan kaki, dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh."
Menurut Ibn Kathir di dalam tafsirnya, ayat ini merujuk kepada arahan Allah kepada nabi Ibrahim supaya menyeru manusia datang ke tanah suci itu untuk menunaikan haji bagi menyahut seruan Allah. Nabi Ibrahim terpinga-pinga, dan tertanya-tanya bagaimanakah mampu baginda memanggil manusia datang sedangkan bumi tersebut pada waktu itu adalah bumi yang kering-kontang tanpa berpenghuni.
Allah menjawab, "Engkau serulah, dan biarkan Kami yang menyampaikan seruan tersebut."
Lantas nabi Ibrahim pun berdiri di tempat yang tinggi, dan menyeru sekuat-kuatnya, "Wahai manusia, sesungguhnya Allah telah menyediakan rumah ibadah untuk kamu, maka tunaikanlah haji ke sini."
Menurut riwayat, bukit-bukau dan gunung-ganang tunduk ketika seruan itu dibuat, sehingga ianya didengar ke seluruh alam. Akhirnya manusia sehinggalah ke hari ini, berduyun-duyun datang ke Makkah setiap musim haji, menyahut seruan Allah melalui nabi Ibrahim, dengan berkata Labbaikallahumma Labbaik.... kami datang wahai Tuhan, kami datang menyahut seruanmu.
Sewajarnya zikir talbiah itu perlu dilaungkan dengan rasa kerdil, insaf dan bersyukur, kerana Allah memilih kita untuk menjadi mereka yang menyahut seruannya itu. Subhanallah.... mustahil manusia yang jernih hatinya tidak rasa tersentuh ketika membaca talbiah ini.
Menunaikan haji juga membawa maksud kita menziarahi rumah ibadat pertama yang telah dibina oleh nabi Adam mengikut beberapa riwayat yang telah dilaporkan oleh Imam al-Tabari di dalam tafsirnya. Ahli sejarah menyatakan yang Ka'bah telah roboh antara 5 hingga 12 kali akibat banjir dan faktor lain. Nabi Muhammad merupakan nabi terakhir yang turut terlibat di dalam pembangunan semula Ka'bah.
Rukun dan wajib haji adalah simbolik siaran ulangan terhadap nilai sebuah pengorbanan nabi Ibrahim dan Ismail terhadap arahan Allah. Melaksanakannya memerlukan pengorbanan serta ketabahan mental dan fizikal. Pengorbanan itu falsafahnya ialah sebagai neraca keIslaman kita. Lagi tinggi pengorbanan, lagi tinggi nilai Islam kita di sisi Allah. Dengan sebab itulah apabila Allah menceritakan kesanggupan nabi Ibrahim dan anaknya nabi Ismail melakukan pengorbanan besar di dalam hidup anak-beranak, maka Allah menggunakan perkataan Aslama di dalamnya, yang daripadanya lahirlah perkataan Islam. Firman Allah SWT dalam surah Al-Soffat ayat 103:
فَلَمَّا أَسْلَمَا وَتَلَّهُ لِلْجَبِينِ
Setelah keduanya berserah bulat-bulat (menjunjung perintah Allah itu), dan Nabi Ibrahim merebahkan anaknya dengan meletakkan iringan mukanya di atas tompok tanah, (Kami sifatkan Ibrahim – dengan kesungguhan azamnya itu telah menjalankan perintah kami).
Menunaikan Haji Di Waktu Muda
Saya amat bersyukur kerana diberikan peluang untuk menunaikan haji di waktu muda kerana kemurahan hati arwah ayah saya menanggung perbelanjaan haji semasa saya menuntut di Mesir dahulu. Tetapi dalam masa yang sama masih rasa terkilan kerana kesibukan duniawi masih menghambat tanggungjawab saya membawa isteri pergi ke sana. Bilalah agaknya saya boleh berasa kepuasan pergi ke sana dengan pendapatan tangan sendiri serta membawa isteri yang merupakan amanah Allah kepada diri saya.
Saya masih ingat, semasa menunaikan haji dulu, ada perbezaan yang ketara antara jemaah haji Malaysia dengan jemaah haji Indonesia, Turki, Iran dan Pakistan, sekadar memberikan beberapa contoh negara. Majoriti jemaah haji Malaysia agak ketara terdiri daripada pakcik makcik yang sudah berusia tua, melebihi usia pencen, bahkan ada yang sudah berbongkok tiga. Banyak ritual haji yang terpaksa diwakilkan kepada orang lain seperti melontar, sa'ie dan tawaf, lalu tidaklah merasa akan kepuasan atau tepatnya kelazatan membuat haji.
Ringkasnya, jemaah haji Malaysia adalah jemaah yang paling beruntung di dunia kerana mempunyai sistem pengurusan ibadah agung tersebut melalui Lembaga Tabung Haji. Dengan tidak sampai RM10,000, anda boleh berada selama 40 hari di tanah haram, lengkap dengan hidangan makanan yang banyak, penginapan yang terletak beratus-ratus meter sahaja daripada Masjidil Haram dan Masjid Nabi, serta pemandu (mutawwif) haji yang berpengalaman. Anda hanya perlu bayar dengan harga yang murah untuk 'pelancongan' 40 hari, pergi dan mengikut orang sahaja. Itu pun, majoriti yang pergi adalah warga emas.
Berbanding dengan jemaah haji dari Indonesia, dengan pendapatan mereka yang kurang berbanding Malaysia, mereka lebih melihat faktor kemampuan fizikal itu sebagai keutamaan untuk pergi menunaikan haji. Lalu ramai rakyat mereka yang berumur 40 tahun ke bawah, muda gagah perkasa mengharungi cabaran menunaikan rukun Islam kelima itu. Pakej paling murah untuk mereka menunaikan haji ialah RM15,000. Harga itu tidak termasuk makanan, dan penginapan yang disediakan letaknya lebih kurang 7 kilometer dari Masjidil Haram! Banyak urusan perlu dibuat sendiri.
Bila ditanya bagaimana mereka mampu menyediakan wang sebanyak RM15,000 itu; jumlah yang amat besar di Indonesia, mereka menjawab bahawa ada antara insitusi kewangan di negara itu yang menyediakan pakej bayaran ansuran, atau pinjaman tanpa faedah untuk pakej haji. Ulamak berselisih pandangan terhadap bayaran haji secara ansuran, kebanyakan yang saya baca menyatakan tiada nas larangan. Akan tetapi jumhur ulamak menyatakan orang yang tidak berduit (termasuklah pada pandangan saya mereka yang tidak layak untuk pakej ansuran seperti di Indonesia) sehingga terpaksa berhutang, tidak termasuk daripada golongan yang wajib membuat haji. Akan tetapi sekiranya mereka berhutang juga dengan lunas syara', kewajiban membuat haji ketika mampu akan dianggap sudah terlunas.
Dibenarkan Berlengah Membuat Haji Ketika Mampu, Tetapi Perlu Bersegera Mencari Mampu
Di dalam kitab fiqh, ada perbahasan ulamak mengenai kewajiban membuat haji, adakah ianya perlu disegerakan atau boleh dilambat-lambatkan. Saya ringkaskan pandangan ulamak seperti berikut:
1. Ibn Qudamah daripada Mazhab Hanbali, Imam Malik, Mazhab Zaidiyyah dan satu riwayat daripada Imam Abu Hanifah menyatakan yang haji wajib ditunaikan segera bagi yang mampu. Sekiranya dilewat-lewatkan, maka luputlah pahalanya walaupun terlepas kewajibannya. Hujjah pandangan ini adalah berdasarkan sepotong hadith Abu Daud yang disahihkan oleh Al-Hakim dan al-Zahabi:ل
"Barangsiapa yang ingin membuat haji, maka bersegeralah."
Hadith di atas menggunakan kata perintah, dan kata perintah membawa maksud perlu bersegera ketika sudah mampu untuk menunaikan haji.
2. Imam al-Shafi'e pula berpandangan yang apabila seseorang itu sudah mampu, dibenarkan dia untuk berlengah atau tidak bersegera melakukannya pada tahun dia mencapai kemampuan tersebut. Pandangan ini adalah berdasarkan kepada sunnah Rasulullah yang hanya menunaikan haji pada tahun ke-10 hijrah, walaupun baginda dan sahabat-sahabat lain sudah mampu berbuat demikian mulai tahun kelapan hijrah lagi.
3. Adapun pandangan jumhur mazhab Hanafi menyatakan yang semua hujjah berkaitan isu ini, mempunyai hukum galakan bersegera dan dalam masa yang sama turut membenarkan berlengah-berlengah ketika mampu membuat haji, akan tetapi mereka cenderung menyatakan adalah lebih baik dan selamat untuk melaksanakannya dalam kadar yang segera.
Khilaf ini walau bagaimanapun, selalu dimanipulasi sebahagian Muslim. Perlu diperjelaskan yang memang ulamak berbeza pandangan terhadap hukum wajibkah bersegera atau boleh berlengah membuat haji ketika mampu. Akan tetapi semua mereka bersepakat yang mencari kemampuan untuk menunaikan haji adalah sesuatu yang dituntut, kerana Allah mewajibkan kita berlumba-lumba untuk membuat kebaikan, dan haji adalah antara kebaikan yang besar dalam kehidupan manusia. Kemampuan membuat haji perlu dicari, bukan ditunggu.
Salah faham ini menyebabkan sebahagian Muslim melengah-lengahkan usaha mencari kemampuan untuk melaksanakan haji, atau menggunakan kemampuan harta dan sihat yang sedia ada ke tempat lain. Maka tidak hairanlah segelintir umat Islam lebih dahulu sampai ke tempat-tempat suci agama lain berbanding ke tempat suci agama sendiri kerana tidak nampak kepentingan perlu bersegera membuat haji ini. Golongan ini sebenarnya terlalai dengan dunia, tidak sedar yang dunia yang Allah pinjamkan kepada mereka perlu diperuntukkan sebahagiannya untuk tambang haji.
Rakyat Malaysia patut bersyukur kerana urusan ibadah kita sering dipermudahkan. Dalam konteks ibadah haji, kita mempunyai Lembaga Tabung Haji yang menguruskan ibadah haji kita dengan harga yang amat-amat murah. Cuti membuat haji pun biasanya diberikan dengan gaji penuh. Sekiranya kita mempunyai simpanan sebanyak RM1,300 di dalam akaun Tabung Haji, maka kita boleh mendaftar untuk membuat haji.
Ada rakan yang memaklumkan giliran terhampir sekiranya mendaftar pada tahun ini (2009), ialah pada tahun 2027; kebiasaannya akan diawalkan.  Renungilah, berapa agaknya usia kita semasa itu. Atau, adakah Allah masih mengizinkan kita menghirup nafas lagi pada waktu tersebut.  Mendaftar itu tanda niat kita. Sekiranya ditarik nyawa kita sebelum kita naik haji, dalam keadaan tiada siapa boleh mengganti haji kita, sekurang-kurangnya ada jawapan yang boleh diberikan di hadapan mahkamah akhirat kelak.
Saya benar-benar mencadangkan kepada ibu bapa supaya menggalakkan anak-anak menyimpan di dalam Tabung Haji sejak kecil lagi. Bagi mahasiswa, terutamanya yang ditaja di luar negara, merancanglah simpanan untuk menunaikan haji. Bagi graduan yang baru masuk alam pekerjaan, jangan terlalu ghairah membelanjakan wang besar untuk membeli simbol kekayaan dan kestabilan, sehingga terlupa menyediakan kemampuan untuk membuat haji.
Adalah cantik sekiranya pasangan yang baru berkahwin, terus menunaikan haji ketika mereka belum mendapat anak lagi. Dan bagi mereka yang masih lalai untuk menyediakan kemampuan membuat haji, jangan lengah-lengah lagi. Marilah menukar budaya membuat haji semasa di usia senja, kepada membuat haji di usia muda. Kesan daripada budaya pergi haji di usia tua itu ialah, ramai yang bersedih apabila menghantar saudaranya menunaikan haji, antaranya kerana merasakan itulah perjalanan terakhir mereka di muka bumi dan bimbang tidak akan berjumpa lagi. Sedangkan kita membuat haji, adalah untuk memenuhi tuntutan Ilahi, bukannya nak pergi mati.
Merancanglah sekarang sementara hayat dikandung badan.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

GURU-GURU BADAR

GURU-GURU BADAR

LUJNAH BADAR PUTERA

LUJNAH BADAR PUTERA

Jom sertai Badan Dakwah & Rohani SMKAY