LIKE Kami di Facebook

Monday, October 29, 2012

Kritikan Sosial- Drama Melayu

Semalam zawjah saya menonton masterchef Malaysia musim ke-2. Tetapi semasa iklan, zawjah saya akan menukar ke TV3, curi-curi tonton drama bertajuk Perginya Doa Ibu. Selepas masterchef musim ke-2 tamat, cerita di TV3 belum tamat. Kami menontonnya hingga habis.
Apa yang saya boleh ungkapkan daripada cerita Perginya Doa Ibu ini, adalah satu keterkilanan yang besar sebenarnya. Ya. Sebelum itu, saya baru sahaja menonton Drama bertajuk Panggilan Baitullah lakonan Fahrin Ahmad. Drama itu juga memberikan kekecewaan yang teramat kepada saya.
Semenjak saya sekolah menengah, saya memang tidak gemar menonton drama dan filem melayu. Kerana saya tidak nampak mesejnya. Kabur. Jalan cerita tidak menarik. Ending tidak memuaskan. Apa yang lebih memberikan keterkilanan kepada saya adalah, unsur-unsur percampuran Aqidah yang dibawa di dalam drama dan filem tersebut.
Menonton Perginya Doa Ibu dan Panggilan Baitullah membuatkan saya jadi menyesal menyudikan diri menonton drama melayu pada kali ini, dan mungkin saya tidak akan menyentuhnya buat satu jangka masa yang agak lama lagi.
Kritikan 1: MATI.
Cerita Perginya Doa Ibu dan Panggilan Baitullah pada saya hakikatnya adalah cerita yang cuba menginsafkan penontonnya dari perbuatan yang tidak baik. Jika di dalam Perginya Doa Ibu, yang cuba dibawakan adalah seorang perempuan bermulut celupar dan amat berbangga-bangga dengan kekayaannya, manakala di dalam Panggilan Baitullah menceritakan seorang lelaki kaya yang riya’ dengan kemampuannya pergi haji berkali-kali serta suka menunjuk-nunjuk amal kebaikannya.
Mengiringi watak utama di dalam kedua-dua cerita ini adalah ‘watak baik’. Jika di dalam Perginya Doa Ibu, Ibu kepada perempuan bermulut celupar menjadi watak baiknya, manakala di dalam Panggilan Baitullah, watak Fahrin Ahmad menjadi watak baiknya. Merekalah yang mendorong watak utama kembali ke jalan kebenaran dan insaf.
Tetapi apa yang mengecewakan saya adalah, kedua-dua watak Ibu dan Fahrin Ahmad di dalam kedua-dua drama itu endingnya adalah mereka mati. Saya hairan mengapa mereka dimatikan tanpa sebab yang munasabah. Fahrin Ahmad dimatikan di dalam sujudnya yang sedang beristikharah, manakala Ibu kepada perempuan bermulut celupar dimatikan ketika sedang melaksanakan Haji.
Saya tidak faham, mengapa mereka mesti MATI?
Apa moralnya?
Di manakah kebaikannya?
Apa gunanya kepada positiveness jalan cerita dan mesej kebaikan?
Tiada.
Namun ianya sekadar menjadikan cerita lebih berair mata, dramatik, semata-mata. Ianya pada saya ibarat filem aksi yang ada tembak menembak rambang di sana sini,  letupan berdentam dentum di sana sini, tetapi tidak memberikan mesej kepada cerita. Sekadar aksi sahaja.
Mengapa mesti MATI? Saya tidak faham.

Kritikan 2: Hantu.
Malaysia kini dilambakkan dengan dua perkara. Gengster dan Hantu. Hingga akhirnya saya kira, itulah sebabnya Namewee membikin filem bertajuk Hantu Gengster. Filem yang sangat mengecewakan pada saya kerana semua agama diletakkan pada taraf yang sama, ditambah pula hantunya terdiri dari Melayu, Cina dan India, yang sama-sama dikejar ‘Polis Hantu’. Sedangkan, kita di dalam Islam sama sekali tidak dibenarkan mempermainkan aqidah kita, dan kehidupan selepas mati adalah sebahagian daripada Aqidah kita. Begitulah Hantu Kapcai dan sebagainya. Sangat-sangat mengecewakan.
Tambah mengecewakan saya apabila drama yang cuba memberikan keinsafan turut bermain dengan watak hantu(atau nama lebih baik sedikit untuk drama sedemikian adalah roh).
Di dalam Drama Perginya Doa Ibu itu, digambarkan bagaimana Ibu yang telah mati, rohnya pulang menemui anak perempuannya yang diazab Allah SWT. Roh ibunya menyapukan air zam-zam ke mulut anaknya yang bernanah diazab Allah itu, kemudian anaknya sembuh, azab Allah ke atasnya diangkat. Kemudian baru anak ini tahu ibunya telah meninggal.
Apa masalahnya bila buat cerita macam ini(roh pulang memberikan bantuan)?
Maka daripada orang akan nampak yang boleh bantu kita adalah roh. Justeru, kita secara tidak langsung sebenarnya memberikan galakan untuk memuja roh yang telah mati, untuk memberikan syafaat, bantuan, pertolongan kepada kita.
Sedangkan, tiada di dalam hadith yang sohih akan roh si mati pulang memberikan bantuan kepada yang masih hidup. Tidak valid langsung cerita sebegini, bahkan membawa kepada syirik.
Bukankah lebih baik jika Ibunya dijadikan benar-benar hidup, pulang dari Haji, dan menyapu air zam-zam sebagai usaha untuk mengubati anaknya itu? Mengapa mesti Ibu itu hadir dalam bentuk roh(telah mati)? Apa gunanya? Di manakah kelebihannya?
Kritikan ini tidak terkecuali dengan segala hantu yang wujud di dalam seantero dunia drama-drama serta filem melayu. Mengapa kita mesti bermain dengan roh dan hantu, baik untuk cerita seram atau cerita keinsafan? Mengapa? Tiada modal lain?

Kritikan 3: Jalan Cerita Yang Tak Menggambarkan Mesej.
Drama Melayu banyak menyelitkan cerita-cerita yang sebenarnya tidak memberikan sumbangan kepada mesej cerita. Bayangkan 2 jam penceritaan, mungkin hanya 1 jam sahaja yang bermakna kepada jalan cerita. Selebihnya hanyalah cerita-cerita lewah yang tak memberikan makna kepada mesej cerita. Dan kadangkala dirasakan pada saya ‘melebih-lebih’ sehingga menghambarkan cerita.
Cerita Panggilan Baitullah contohnya. Sepatutnya cerita itu sebaiknya ditamatkan kala Fahrin Ahmad menerangkan kebaikan yang telah dia lakukan. Namun cerita ditambah-tambah, meleret hingga ke peringkat watak Fahrin Ahmad dimatikan ketika solat istikharah.
Maka cerita itu kelihatan pelik, tergantung, dan ‘over’.
Cerita Perginya Doa Ibu pula, wujud di mana watak utama(perempuan mulut celupar) selepas menerima azab Allah, mulutnya bernanah dan tubuhnya kejung, duduk di atas kerusi roda di tepi swimming pool, kemudian diceritakan dia melihat roh ibunya berjalan. Membuatkan dia ingin memanggil-manggil ibunya hingga dia termasuk ke dalam swimming pool.
Sudahlah tak ada makna kepada jalan cerita, pakaian pelakon perempuan pula habis menjadi ketat dibasahi air hingga menunjukkan bentuk tubuhnya, yang kemudiannya dipegang sana sini oleh 2 orang lelaki(pelakon yang menjadi suaminya, dan pelakon yang menjadi abangnya dalam cerita itu), yang sah-sah bukan mahramnya di dunia realiti, untuk menyelamatkannya dari lemas dalam swimming pool itu. Sudahlah tidak penting, berdosa pula.
Lagi plot yang tidak kena adalah apabila tiba-tiba watak perempuan itu(ketika masih sihat), bermimpikan ibunya yang memohon diri ibunya diselamatkan. Diselamatkan daripada apa? Tiada siapa mengerti. Mengapa ibunya perlu diselamatkan? Tiada siapa tahu. Dan persoalan itu tiada jawapannya hingga ke hujung cerita. Tambah pelik apabila roh ibunya lah yang menyelamatkan dia dari azab siksa Allah SWT. Maka mengapa penulis skrip memasukkan mimpi itu? Kabur.
Kita akan menjumpai perkara sebegini terlalu banyak di dalam drama-drama dan filem melayu.
Pada saya, alangkah bagusnya kita buat cerita yang tidak terlalu panjang, tetapi padat. Berkesan. Sarat dengan mesej, dan meaningful. Setiap saat dan minit di dalam filem itu tidak dibazirkan untuk perkara yang sia-sia.

Penutup: Drama dan Filem Salah Satu Instrumen Pendidikan Minda Masyarakat.
Saya rasa, potensi penulis skrip(pembuat cerita) dan pengarah(yang mengarahkan perjalanan pembikinan filem/drama) telah dibazirkan di Malaysia ini apabila yang berlambaknya adalah filem-filem dan drama-drama yang sebegini. Tidak membawa apa-apa erti, bercampur baur antara kebatilan dan kebenaran.
Itu belum kita kira isu lelaki dan perempuan bukan mahram, bersentuh-sentuhan. Pelakon-pelakon yang tidak menutup aurat dan sebagainya.
Belum saya sentuh di manakah relevannya kita banyakkan filem gengster dan hantu, hingga ke tahap kita membuat drama bersiri ‘Bini-biniku Gengster’ dan pelbagai drama bersiri hantu  seperti Waris dan sebagainya(yang wataknya tak menutup aurat pun, tetapi masa nak halau hantu, tahu pula berdoa kepada Allah).
Kita kadangkala lupa betapa filem dan drama itu hakikatnya adalah salah satu instrumen pendidikan minda masyarakat. Maka apabila kita memasukkan unsur-unsur yang tidak baik di dalamnya(syirik dan sebagainya), kita sebenarnya sedang menyuntik unsur-unsur itu ke dalam masyarakat kita.
Apabila kita terlalu stereotaip(asyik-asyik watak baik mati untuk tunjukkan keinsafan kepada watak yang kurang baik), maka mesej kebaikan yang wujud di dalam cerita menjadi hambar dan orang masyarakat mula muak dengan cerita itu serta mesej kebaikannya tidak akan sampai ke hati masyarakat.
Apabila kita campurkan yang haq dan yang batil, maka masyarakat bukannya memperolehi kebaikan sebenarnya. Tetapi masyarakat hanya akan memperolehi keburukan hasil campuran haq dan batil dalam definisi kebenaran mengikut yang ditayangkan drama atau filem.

1 comment:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

GURU-GURU BADAR

GURU-GURU BADAR

LUJNAH BADAR PUTERA

LUJNAH BADAR PUTERA

Jom sertai Badan Dakwah & Rohani SMKAY