LIKE Kami di Facebook

Monday, June 6, 2011

Hadith: Sesiapa menyerupai sesuatu kaum..


1. Hadis “Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia dalam kalangan mereka” diriwayatkan daripada beberapa orang sahabat; AbdulLah bin ‘Umar, Huzaifah bin al-Yaman dan Anas bin Malik. Antara ahli hadis yang mengumpul hadis ini; Abu Daud, Ahmad bin Hanbal, Ibn Abi Syaibah, al-Bazzar dan lain-lain. Hadis dinilai oleh Ibn Taimiyyah (w. 728H) sebagai sahih, al-Iraqi (w. 806H) juga menilai sebagai sahih, Ibn Hajar al-‘Asqalani (w. 852H) menyatakan ia ‘hasan’ dan demikian juga al-Albani.
2. Hadis ini secara umumnya memberikan maksud yang positif dan negatif. Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum atau puak yang baik atau terpuji maka dia termasuk dalam kalangan mereka yang terpuji atau akan dianggap baik dan terpuji. Sementara sesiapa yang menyerupai kaum atau puak yang buruk atau tidak baik maka dia dianggap dalam kalangan mereka.
3. Perkataan man tasyabbaha (sesiapa yang menyerupai) iaitu tasyabbuh (menyerupai) dalam hadis ini merujuk kepada sesuatu perkara yang menjadi ciri khusus sesuatu pihak yang mana jika seseorang menyerupai keadaan atau hal tersebut maka dia akan dianggap termasuk dalam kalangan mereka seperti pakaian yang khas untuk kumpulan tertentu atau agama tertentu, atau perayaan khas untuk agama tertentu atau majlis khas untuk puak atau agama tertentu, maka dia dinilai dalam kalangan mereka. Adapun jika perkara tersebut bukan khusus untuk mereka, maka itu tidak termasuk. Kata al-Imam al-Son’ani (w. 1182H):
“Hadis menjadi dalil bahawa sesiapa yang menyerupai golongan fasik, atau kuffar atau ahli bid’ah dalam apa-apa perkara yang khusus untuk mereka, samada dalam pakaian, kenderaan atau cara, maka dia termasuk dalam kalangan mereka. Jika dia menyerupai kafir dalam pakaian (khusus) dan beriktikad untuk jadi seperti mereka, maka dia telah kufur. Jika dia tidak beriktikad demikian, maka para fuqaha (ahli fekah) berbeza pendapat mengenainya. Ada yang menyatakan dia menjadi kufur kerana berdasarkan secara zahir hadis tersebut. Ada yang menyatakan tidak kufur, tetapi dia diadabkan (oleh pemerintah)”. (al-Son’ani, Subul as-Salam, 4/321. Beirut: Muassasah Fuad).
4. Ertinya, menyerupai sesuatu yang khusus bagi agama tertentu seperti memakai salib, atau pakaian khusus paderi dan sami, atau amalan khusus agama tertentu seperti bertafakur di kuil dan seumpamanya adalah perbuatan yang haram. Jika ia diikuti dengan iktikad seperti mereka, maka dia menjadi kufur. Sementara, jika dia sekadar suka-suka, atau melakukan tanpa niat yang kufur, amalan tersebut tetap haram. Cumanya, ulama berbeza pendapat, ada yang menganggapnya telah kufur, ada pula yang menyatakan tidak, tetapi berdosa.
5. Saya menyokong pendapat yang menyatakan sekiranya menyerupai golongan kufur tetapi tidak beriktikad kufur perbuatan tersebut berdosa tetapi tidak terkeluar dari agama. Namun, jika dia menyerupai mereka secara penyerupaan zahir dan juga batin iaitu dengan iktikad yang sama, maka dia menjadi kufur. Kadar dosa menyerupai itu berdasarkan kadar perkara yang ditiru atau diserupai.
6. Sekali lagi hendaklah kita jelas, penyerupaan yang dimaksudkan dalam hadis ini adalah penyerupaan dalam perkara-perkara yang khusus untuk sesuatu puak atau agama. Jika perkara tersebut tidak khusus untuk mereka, maka hadis ini tidak berkaitan. Dalam dunia globalisasi, banyak unsur budaya dan adat telah dikongsi oleh pelbagai pihak seperti pakaian, makanan, binaan dan seumpamanya yang bukan lagi khusus untuk agama tertentu. Maka, kita hendaklah teliti dalam menilai apa yang khusus dan apa yang umum. Pakaian yang dipakai oleh mereka yang bukan muslim tidak semestinya melambangkan agama mereka atau khusus untuk agama mereka. Begitu makanan, binaan dan adat tertentu. Makan dengan sudu-garpu atau cop-stick, berjeket, berumah ala-Inggeris atau Jepun bukanlah berkaitan agama.
7. Dalam hadis “Sesungguhnya Nabi s.a.w memakai jubah Rom –dalam sebahagian hadis disebut jubah syamiah (negeri Syam)- yang sempit kedua tangan bajunya” (Riwayat al-Bukhari, Muslim al-Tirmizi, al-Nasai dan lain-lain). Padahal masyarakat Rom ketika itu adalah Kristian. Demikian juga negara-negara lain pada masa tersebut, belum lagi menganut Islam, tetapi Nabi s.a.w memakai pakaian mereka. Ini kerana pakaian itu bukan pakaian khusus agama.
Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah r.a (meninggal 728H):
“Rasululah s.a.w itu pernah memakai gamis (baju labuh) dan serban, baginda pernah memakai kain sarung dan ridak (baju separuh yang dipakai bersama kain sarung), baginda pernah memakai jubah dan farajiah (baju besar dan panjang kedua tangannya). Baginda pernah memakai pakaian dari jenis kapas, bulu dan selainnya. Baginda pernah memakai jubah bulu ketika bermusafir. Baginda juga memakai apa yang dibawa dari Yaman dan selainnya. Kebanyakannya dibuat dari kapas. Mereka (pada zaman tersebut) juga memakai buatan Qibti Mesir yang ditenun dari kattan. Maka, bererti sunnah Rasulullah s.a.w dalam hal ini adalah seseorang memakai pakaian dan memakan makanan yang mudah didapati dalam negerinya. Maka perkara ini berbagai-bagai, berdasarkan kepelbagaian negeri” (Ibn Taimiyyah, Majmu’ah al-Fatawa, 11/541, Riyadh: Maktab al-Abikan).
8. Meniru perkara yang baik dan bermanfaat, sekalipun ia berasal dari bukan muslim adalah tidak salah. Apatahlagi jika perkara itu diterima oleh masyarakat awam sebagai sesuatu yang baik dan bermanfaat. Daripada Anas bin Malik, katanya:
“Apabila Nabi s.a.w ingin menulis surat Rum. Lalu diberitahu kepadanya bahawa mereka itu tidak membaca surat yang tidak mempunyai cop. Lalu baginda membuat cop daripada perak. Kata Anas: seakan aku masih melihat kilauan cop berkenaan di tangan Nabi s.a.w. berukir Muhammad RasululLah”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Hadis ini jelas menunjukkan baginda Nabi s.a.w meraikan dan menerima pakai kebiasaan sesuatu kaum selagi ia tidak menyanggahi prinsip Islam.
9. Berdasarkan hadis “Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia dalam kalangan mereka” maka muslim dilarang untuk meniru gaya atau kelakuan atau pakaian yang khusus dikenali dengan unsur jahat yang boleh menimbulkan salah sangka orang ramai terhadap orang yang menyerupai tersebut. Kata al-Imam al-Munawi:
“Jika puak fasik atau kaki berfoya mengkhususkan sesuatu pakaian, maka dilarang untuk seseorang memakainya kerana mungkin boleh menyebabkan orang yang tidak tahu berburuk sangka bahawa dia dalam kalangan mereka (fasik dan kaki berfoya), lalu berdosa yang berburuk sangka dan juga yang disangka buruk disebabkan dia punca sangkaan tersebut” (al-Munawi, Faidh al-Qadir, 6/135. Beirut: Dar al-Kurub al-‘Ilmiyyah).
Maka, perbuatan anak-anak muda atau selain yang meniru pakaian atau gaya artis atau kumpulan yang dianggap serong oleh masyarakat itu menyumbang kepada dosa.
10. Manusia ini cenderung menyerupai pihak yang mereka suka atau sayangi. Orang baik cenderung meniru cara orang yang baik. Demikianlah sebaliknya. Kecenderungan kita untuk meniru gaya atau gaya sesuatu pihak, memberi gambaran tentang apa yang tersirat dalam jiwa kita.
11. Kesimpulannya; kita dilarang meniru atau menyerupai apa yang khusus untuk agama lain, atau apa yang khusus untuk sesuatu puak atau kumpulan yang mempunyai nilai yang negatif dan buruk. Kita boleh menyerupai apa yang tidak khusus untuk agama tertentu atau tidak memberi imej yang buruk. Demikian meniru apa yang baik adalah digalakkan sekalipun dari bukan muslim.
Artikel oleh: Dr.MAZA

Read more...

Apabila ulama’ mendiamkan diri dari berkata benar


Hakikatnya, bukan sahaja golongan ulama, tetapi setiap individu muslim wajib menegakkan kebenaran dan mencegah kemungkaran. Namun, bagi golongan ulama mereka mempunyai amanah yang lebih berat. Ini kerana ilmu yang ada pada mereka sepatutnya menjadikan mereka lebih ke hadapan dalam membela agama Allah.
1. Ungkapan “Orang yang diam dari bercakap benar adalah syaitan bisu” bukanlah hadis yang sah. Walaupun ia terkenal, namun tiada riwayat yang sahih, ataupun daif dalam mana-mana kitab hadis yang meriwayatkannya. Maka, berhati-hati dalam menyandarkan sesuatu kepada Rasulullah S.A.W.
2. Allah Maha Adil. Islam tidak pernah menyatakan manusia dinilai berdasarkan gelaran mereka. Sebaliknya, berdasarkan tanggungjawab yang ditunaikan. Demikianlah juga para ulama. Bahkan Al-Quran tidak pernah menyamakan sesiapa pun dengan anjing melainkan ulama yang gilakan dunia sehingga membelakangkan ilmu agamanya. Firman Allah: (maksudnya)
“Dan bacakanlah kepada mereka (Wahai Muhammad), khabar berita seorang yang Kami beri kepadanya (pengetahuan mengenai) ayat-ayat Kami. Kemudian dia menjadikan dirinya terkeluar dari mematuhinya, lalu dia diikuti oleh syaitan, maka dia dari kalangan yang sesat. Dan kalau Kami kehendaki nescaya Kami angkat kedudukannya dengan (berpegang) ayat-ayat itu, tetapi dia bermati-mati cenderung kepada dunia dan menurut hawa nafsunya; maka bandingannya adalah seperti anjing, jika engkau menghalaunya, ia menghulurkan lidahnya, dan jika Engkau membiarkannya, ia juga menghulurkan lidahnya. Demikianlah bandingan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat kami. Maka ceritakanlah kisah-kisah itu supaya mereka berfikir (Surah al-’Araf: 175-176).
Maka ulama tiada nilainya jika menyembunyikan kebenaran. Bahkan Allah samakan mereka dengan anjing!
3. Seseorang yang memenuhi poket dengan gaji yang besar tetapi menyembunyikan atau mendiamkan diri dari menegakkan kebenaran sedangkan dia mampu, itu adalah dosa yang amat besar. Allah menyifatkan habuan dunia yang diperolehi itu sekadar memenuhi perut dengan neraka. Firman Allah: (maksudnya)
“Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa-apa keterangan Kitab yang telah diturunkan oleh Allah, dan membeli dengannya harga yang sedikit, mereka itu tidak mengisi dalam perut mereka selain daripada api neraka, dan Allah tidak akan berkata-kata kepada mereka pada hari kiamat, dan ia tidak membersihkan mereka (dari dosa), dan mereka pula akan beroleh azab yang perit”. (Surah al-Baqarah: ayat 174).
4. Beberapa buku sejarah menyebut satu kisah yang menarik untuk direnungi. Pada zaman pemerintahan Khalifah Yazid bin ‘Abd al-Malik (meninggal 105H), gabenor Iraq ketika itu ialah ‘Umar bin Hubairah. Gabenor tersebut telah memanggil dua orang tokoh ilmuwan besar umat ketika itu; ‘Amir al-Sya’bi dan al-Hasan al-Basri. Beliau bertanya mereka berdua mengenali arahan-arahan Khalifah Yazid bin ‘Abdul Malik yang datang kepadanya. Ada antaranya ada yang menyanggahi kebenaran.
Kata ‘Umar bin Hubairah: “Jika aku taatkan Khalifah, aku menderhakai Allah, jika aku mentaati Allah aku akan menderhakai Khalifah”. Apa pendapat kamu?”.
Jawab al-Sya’bi: “Engkau hanya menjalankan tugas, dosa ditanggung oleh Khalifah”.
Tanya ‘Umar bin Hubairah kepada al-Hasan al-Basri: “Apa pendapatmu pula?”.
Jawab al-Hasan: “Wahai Gabenor! Engkau telah pun mendengar pendapat al-Sya’bi tadi”.
Kata gabenor: “Aku mahu pendapatmu”.
Kata al-Hasan al-Basri:
“Wahai ‘Umar bin Hubairah, akan datang kepadamu malaikat Allah yang bengis lagi tidak menderhakai perintah Allah, dia akan mengeluarkan engkau dari istanamu yang luas ke kuburmu yang sempit. Jika engkau bertakwa kepada Allah, Dia boleh melindungimu daripada tindakan (Khalifah) Yazid bin ‘Abdul Malik, adapun Yazid bin ‘Abdul Malik tidak dapat melindungimu dari pada tindakan Allah. Tidak ada ketaatan kepada makhluk dalam menderhakai Pencipta (Allah). Wahai ‘Umar bin Hubairah! Engkau jika bersama Allah dalam ketaatan kepadaNya, Dia memeliharamu daripada bahaya Yazid bin ‘Abdul Malik. Namun jika engkau bersama Yazid dalam menderhakai Allah maka Dia serahkan engkau kepada Yazid “. Lalu menangislah ‘Umar bin Hubairah. Ditanya al-Hasan mengapakah beliau melakukan demikian? Jawabnya: “Kerana perjanjian yang Allah meterai untuk para ulama berkaitan ilmu mereka –seperti firman Allah dalam Surah Ali ‘Imran 187-: (maksudnya): Dan (ingatlah) ketika Allah mengambil perjanjian dari mereka yang telah diberikan Kitab (iaitu): “Demi sesungguhnya! hendaklah kamu menerangkan isi Kitab itu kepada umat manusia, dan jangan sekali-kali kamu menyembunyikannya”. (lihat: al-Mizzi, Tahzib al-Kamal, 6/113, Al-Zahabi, Tarikh al-Islam, 2/333, Ibn Manzur, Mukhtasar Tarikh Dimasyq, 6/97).
5. Masyarakat Islam hendaklah diberikan kesedaran bahawa tujuan pengajian agama bukan untuk mendapat habuan dunia tetapi untuk menegakkan ajaran Allah dan rasulNya. Jika pelajar agama atau ibubapa yang menghantar anak mempelajari agama meletakkan dunia sebagai matlamat, maka ramailah ulama berkepentingan akan terus muncul dan rosaklah masyarakat. Justeru, Nabi s.a.w bersabda:
“Sesiapa yang mempelajari sesuatu ilmu yang sepatutnya dicari keredhaan Allah Azza wa Jalla dengannya, tetapi dia tidak mempelarinya kecuali untuk mendapatkan habuan dunia, maka dia tidak akan mendapat bau syurga pada hari kiamat. (Riwayat Abu Daud dan Ibn Majah. Al-Nawawi mensahihkannya dalam Riyadh al-Salihin).
6. Seorang tabi’in yang terkenal dengan soleh dan warak Salamah bin Dinar pernah berkata di hadapan Khalifah Sulaiman bin ‘Abdul Malik:
“Telah berlaku di mana para umarak (pemerintah) mencari ulama, lalu mengambil manfaat daripada mereka. Maka yang sedemikian kebaikan untuk kedua-dua pihak. Namun hari ini, ulama pula yang mencari umarak, lalu cenderung dan inginkan apa yang dimiliki oleh mereka. Lalu umarak menganggap: tentu apa yang ulama cari yang ada di tangan kita ini lebih baik daripada apa yang ada di tangan mereka”. (Ibn, ‘Asakir, Tarikh Dimasyq, 22/29).
Demikianlah, kita dapati sesetengah golongan agama boleh dijadikan dagangan politik. Puncanya, kerana menghina diri di hadapan orang berkuasa.
7. Dosa ulama yang menyembunyikan kebenaran, atau menyelewengkannya tidak dapat ditebus melainkan dengan menerangkan semula hakikat yang sebenar. Firman Allah: (maksudnya):
“Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa yang telah Kami turunkan dari keterangan-keterangan dan petunjuk hidayah, sesudah Kami menerangkannya kepada manusia dalam Kitab (yang diturunkan), mereka itu dilaknat oleh Allah dan dilaknat oleh sekalian makhluk. Kecuali orang-orang yang bertaubat, dan memperbaiki (penyelewengan mereka) serta menerangkan (apa yang mereka sembunyikan); maka orang-orang itu, Aku terima taubat mereka, dan Akulah Yang Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani. (Surah al-Baqarah: ayat 159-160).
Marilah kita pohon perlindungan dengan Allah dari membelakangi agamaNya.
Artikel oleh: Dr.MAZA

Read more...

Sampaikanlah yang benar walaupun ia pahit


‘‘Hai orang-orang yang beriman taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasul dan kepada pemangku kekuasaan di antaramu. Maka jika kamu berselisih dalam sesuatu (perkara), kembalilah ia kepada (kitab) Allah dan (sunah) Rasul, jika kamu benar-benar beriman terhadap Allah dan hari kemudian. Itulah yang lebih baik dan lebih bagus kesudahannya.”
Firman Allah dalam surah An-Nisa ayat 59 tersebut dengan jelas memperingatkan umat Islam supaya tidak membiarkan sesuatu pertelingkahan atau perbezaan pendapat itu mencetuskan perpecahan di antara mereka.
Sememangnya dalam kehidupan ini, perbezaan pendapat dan mempunyai pandangan yang berlainan adalah sesuatu perkara yang lumrah justeru apabila ia berlaku jangan sesekali ada di antara kita dengan mudah membuat kesimpulan yang menjurus kepada prasangka kononnya ia bertujuan memburukkan sesiapa.
Allah telah mengingatkan kita dalam surah Yunus ayat 36 dengan menegaskan, ‘‘Prasangka itu tidak mendatangkan kebenaran apa pun.” Oleh itu jika tercetus sesuatu isu antara kita dan terwujudnya perbezaan pendapat atau terbentuk sesuatu teguran ia seharusnya ditangani dengan sebijak-bijaknya.
Janganlah kita terlalu gopoh ke hadapan dengan membuat andaian yang bukan-bukan atau berhujah dengan penuh emosi sehingga terwujud cabar-mencabar. Sebaliknya teguran atau sesuatu pandangan itu perlu diteliti dan dihalusi sertai dikaji kebenarannya. Ini kerana perbuatan menegur orang yang melakukan kesalahan merupakan tindakan yang amat diperintah oleh Allah.
Firman Allah dalam surah An-Nahl ayat 125 bermaksud:
“Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang lebih baik.”
Namun begitu sejak kebelakangan ini kita melihat semakin banyak pihak yang tidak boleh ditegur biarpun apa yang dinyatakan oleh seseorang itu mempunyai kebenarannya.
Sesungguhnya Rasulullah s.a.w telah mengingatkan bahawa sesuatu kebenaran itu perlu dinyatakan biarpun pahit dan baginda juga menegaskan,
‘‘Siapa sahaja di antara kalian yang melihat kemungkaran, maka tegurlah dengan tangannya (kekuasaannya). Jika tidak mampu, maka tegurlah dengan lisannya. Jika tidak mampu juga, maka tegurlah dengan hati. Namun, ini adalah keimanan paling lemah.”
Islam telah menggariskan dalam membuat teguran, kita haruslah berhati-hati apatah lagi jika kita cuba bertindak sebagai ‘orang perantaraan’ bagi menjelaskan sesuatu perkara.
Tiga faktor yang digariskan oleh Islam boleh menjayakan sesuatu teguran itu ialah, pertama, tidak merendahkan ego orang yang ditegur, kedua mencari waktu yang tepat dan ketiga memahami kedudukan orang yang ditegur.
Hakikatnya, Islam memberi panduan yang jelas dalam kita memberi teguran dan bagaimana sikap kita apabila ditegur. Kita tidak harus melatah apatah lagi terlalu emosional sehingga menyebabkan kita melafazkan kata-kata yang tidak sepatutnya.
Semua itu tidak akan menyelesaikan masalah sebaliknya hanya akan mengeruhkan lagi keadaan, tidak kira sama ada kita pemimpin atau tidak tetapi apa yang kita perkatakan pasti akan dinilai oleh manusia dan diperhitungkan oleh Allah. Kegagalan untuk mengawal perasaan kita berhujah akan menyebabkan berlaku tuduh-menuduh yang kesudahannya akan mencetus permusuhan antara kita.
Tindakan ini sudah tentulah bertentangan dengan firman Allah dalam surah Ali-Imran ayat 103 yang mengingatkan,
‘‘Dan berpegang teguhlah kamu sekalian dengan tali (agama) Allah dan janganlah kamu bercerai-berai dan ingatkan nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu bermusuh-musuhan, maka Allah menjinakkan hati kamu lalu jadikan kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang yang bersaudara, pada hal dahulunya kamu telah berada di jurang neraka, maka Dia menyelamatkan kamu daripadanya. Demikianlah Allah menerangkan kepadamu ayat-ayat agar kamu mendapat petunjuk.”
Hakikatnya, Islam tidak hanya mengajar etika menegur umat seagama tetapi Islam juga mengajar kita bagaimana cara menegur yang betul kepada umat daripada agama lain, tidak kita seburuk apa pun kesalahannya.
Ia terkandung dalam al-Quran melalui perintah Allah kepada Nabi Musa dan Nabi Harun untuk berkata lembut kepada Firaun seperti mana firman-Nya dalam surah Thaha ayat 44 yang bermaksud;
‘‘Berbicaralah kalian berdua kepadanya (Firaun) dengan kata-kata yang lemah lembut, mudah-mudahan ia ingat atau takut.”
Jika dengan Firaun pun Allah perintahkan para nabi bercakap dengan lemah lembut, apatah lagi kita sesama Islam. Ertinya Allah tidak suka jika kita bercakap atau berhujah mengikut perasaan semata-mata.
Rasulullah s.a.w bersabda,
‘‘Percakapan orang yang berakal muncul dari balik hati nuraninya. Maka ketika hendak berbicara, terlebih dahulu ia kembali pada nuraninya. Apabila ada manfaat baginya, dia harus bercakap dan apabila ia boleh mendatangkan keburukan, maka dia hendaklah tidak melafazkannya. Sesungguhnya hati orang yang bodoh berada di mulut, ia berbicara sesuai apa sahaja yang dia mahukan’’.
Seperkara lagi dalam kita berhujah atau mempertahankan sesuatu elakkan daripada memalsukan fakta apatah lagi membuat pujian yang bukan-bukan kepada seseorang ini.
Ia disebabkan pujian yang melampau itu adalah bencana lidah (min afat al lisan) yang sangat berbahaya.
Dalam buku Ihya ‘Ulum al-Din, Imam Ghazali menyatakan enam bahaya (keburukan) yang mungkin timbul daripada budaya memuji tersebut iaitu empat keburukan kembali kepada orang yang memberikan pujian dan dua keburukan lainnya kembali kepada orang yang dipuji.
Bagi pihak yang memuji, keburukan yang akan diperoleh ialah melakukan pujian secara berlebihan sehingga menjerumus ke dalam dusta, dia memuji dengan berpura-pura menunjukkan rasa cinta dan simpati yang tinggi sedangkan dalam hatinya adalah sebaliknya, ia menyatakan sesuatu yang tidak disokong oleh fakta sebaliknya pembohongan semata-mata dan dia telah menggembirakan orang yang dipuji padahal orang itu melakukan kesalahan.
Dua keburukan yang menanti orang yang dipuji pula ialah dia akan merasa sombong (kibr) dan bangga diri (ujub) – kedua-dua adalah penyakit yang boleh ‘mematikan’ hati seseorang dan keburukan kedua, orang yang dipuji akan merasa hebat, tidak perlu bersusah payah dan bekerja kuat.
Kesimpulannya, dalam apa juga yang kita lakukan berkaitan dengan lidah yang melahirkan kata-kata kita harus berhati-hati, tidak kiralah sama ada ia teguran, pujian, kenyataan atau berhujah. Ini kerana setiap apa yang diperkatakan akan diperhitungkan di akhirat kelak apatah lagi jika ia berkaitan dengan soal kebenaran dan kebatilan.
Justeru jadikanlah firman Allah dalam surah Ali-Imran ayat 104 dan 105 sebagai pegangan, maksudnya;
“Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang mengajak kepada kebajikan dan menyuruh kepada makruf dan mencegah dari kemungkaran dan mereka itulah orang-orang yang beruntung.
“Dan janganlah kamu seperti orang-orang yang bercerai-berai dan berselisih sesudah datang keterangan yang jelas kepada mereka dan mereka itulah orang-orang yang akan mendapat azab yang berat.”
Artikel oleh: I Luv Islam

Read more...

Rasulullah menangis kerana…


Rasulullah ceritakan pengalaman saksi balasan dahsyat ketika Isra’ Mi’raj, Ali berkata: “Saya dengan Fatimah pergi menghadap Rasulullah SAW. Kami dapati beliau sedang menangis, lalu kami bertanya kepadanya, apakah yang menyebabkan ayahanda menangis, ya Rasulullah?” Baginda SAW menjawab: “Pada malam aku diisrak hingga ke langit, di sana aku melihat perempuan dalam keadaan amat dahsyat. Dengan sebab itu aku menangis mengenangkan azab yang diterima mereka.”
Ali bertanya: “Apakah yang ayahanda lihat di sana?” Rasulullah SAW menjawab: “Aku lihat ada perempuan digantung rambutnya, otak kepalanya menggelegak. Aku lihat perempuan digantung lidahnya, tangannya diikat ke belakang dan timah cair di-curah ke dalam halkumnya (tekak). “Aku lihat perempuan yang digantung kedua kakinya terikat, tangannya diikat ke ubun-ubunnya, disuakan ular dan kalajengking. Aku lihat perempuan yang memakan dagingnya sendiri, di bawahnya dinyalakan api neraka. Aku lihat perempuan mukanya hitam dan memakan tali perutnya sendiri. “Aku lihat perempuan yang telinga pekak dan matanya buta, diisikan ke dalam peti yang diperbuat daripada api neraka, otaknya keluar daripada lubang hidung, badan bau busuk kerana penyakit kusta dan sopak.
“Aku lihat perempuan yang kepalanya seperti babi, badannya seperti himar berbagai kesengsaraan dihadapinya. Aku lihat perempuan yang rupanya seperti anjing, kala dan ular masuk ke kemaluannya, mulut dan pelepasnya (punggung). Malaikat memukulnya dengan corong api neraka.” Fatimah pun bertanya kepada ayahandanya: “Ayahanda yang dikasihi, beritakanlah kepada ananda, apakah kesalahan yang dilakukan oleh perempuan itu?”
Rasulullah menjawab: “Fatimah, adapun perempuan tergantung rambutnya itu adalah perempuan yang tidak menutup rambut daripada bukan muhrimnya. Perempuan tergantung lidahnya ialah perempuan yang menggunakan lidahnya untuk memaki dan menyakiti hati suaminya. “Perempuan yang digantung susunya adalah perempuan yang menyusukan anak orang lain tanpa suaminya. Perempuan kedua kakinya tergantung itu ialah perempuan yang keluar dari rumahnya tanpa izin suaminya.
“Perempuan tidak mau mandi setelah haid nan nifas ialah perempuan yang memakan badannya sendiri, juga kerana ia berhias untuk lelaki bukan suaminya dan suka mengumpat orang. “Perempuan yang memotong badannya sendiri dengan gunting api neraka kerana ia memperkenalkan dirinya kepada orang asing, bersolek dan berhias supaya kecantikannya dilihat lelaki lain. “Perempuan diikat kedua kakinya dan tangannya ke atas ubun-ubunnya, disuakan ular dan kala kepadanya kerana ia boleh sembahyang tetapi tidak mengerjakannya dan tidak mandi janabah. “Perempuan kepalanya seperti babi dan badannya seperti himar ialah ahli pengumpat dan pendusta. Perempuan rupanya seperti anjing ialah perempuan yang suka membuat fitnah dan membenci suaminya.
Seterusnya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Perempuan menyakit hati suami dengan lidahnya pada hari kiamat nanti Allah jadikan lidahnya sepanjang 70 hasta kemudian diikat di belakang tengkoknya.” Abu Bakar as-Sidik mengatakan, aku dengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Perempuan menggunakan lidah untuk menyakiti hati suaminya ia akan dilaknat dan kemurkaan Allah.” Usamah bin Zaid menceritakan, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Aku berdiri di atas syurga, kebanyakan yang masuk ke dalamnya adalah golongan miskin dan orang kaya tertahan di luar pintu syurga kerana dihisab. Selain daripada itu ahli neraka diperintahkan masuk ke dalam neraka, dan aku berdiri di atas pintu neraka, ku lihat kebanyakan yang masuk ke dalam neraka adalah perempuan.”
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Aku lihat api neraka, tidak pernah aku melihatnya seperti hari ini, kerana ada pemandangan yang dahsyat di dalamnya aku saksikan kebanyakan ahli neraka adalah perempuan.” Rasulullah SAW ditanya, mengapa ya Rasulullah? Baginda SAW menjawab: “Perempuan mengkufurkan suaminya dan mengkufurkan ihsannya, Jika engkau membuat baik kepadanya seberapa banyak pun dia belum berpuas hati dan cukup.”
(Hadith riwayat Bukhari)

Read more...

Apa yang perlu dibuat setiap hari?

  1. Sentiasa patuh dan taat kepada ajaran islam yakni patuh kepada Allah dan Rasulullah.
  2. Sentiasa muhasabah diri dan melihat kesilapan yg dilakukan dan cuba berhijrah ke arah lebih baik.
  3. Sentiasa merendah diri dan melihat orang yg nasibnya lebih teruk dari kita agar timbul rasa bersyukur.
  4. Sentiasa cuba untuk menegur bila ternampak orang lain berbuat maksiat dan kesalahan dan elakkan sengaja mencari salah orang.
  5. Sentiasa cuba menasihati dan mengajak saudara sesama islam untuk berbuat kebaikan dan meninggalkan kejahatan.
  6. Sentiasa berusaha mempelajari ilmu agama dan mengamalkan apa yg dipelajari agar dapat ia memperbaiki diri.
  7. Sentiasa cuba membantu orang yg susah sekadar kemampuan diri dan sentiasa berbuat baik pada semua orang.
  8. Sentiasa cuba berusaha menjadi lebih baik daripada semalam dan berusaha membersihkan hati dari segala prasangka.
  9. Sentiasa belajar memaafkan kesalahan orang lain kepada kita dan jadikan diri seorang yg lambat marah dan cepat redanya.
  10. Sentiasa ada rasa syukur dan mengharap kepada Allah sahaja di waktu senang dan susah dengan keyakinan tinggi iaitu Allah pasti bersama kita.

Read more...

Bangkitlah saudara-saudaraku


Andai sahaja manusia tahu betapa seksanya dibakar di dalam api, maka mereka akan cuba menyelamatkan diri dari dibakar.. Lihatlah gambar di atas, hayatilah betapa sakitnya dibakar dengan api.. Ia hanya api dunia yang tidaklah sepanas mana.. Lihatlah ada orang menghulur tangan, mereka cuba bantu kita dari dibakar api, mereka itulah orang yang menasihati ke arah kebaikan.. Mereka bukan cemburu, bukan menyibuk hal orang lain, tapi mereka tak mahu kamu dibakar sebegitu rupa.. Tahu kan api neraka tu 70 kali ganda lebih panas dari api yang terpanas di dunia?
Jadi mengapa kita masih lagi tidak mahu solat? tidak mahu tutup aurat? tidak mahu berbuat baik? tidak mahu mengikuti segala perintah dan meninggalkan larangan Allah? iblis itu dari api kejadiannya, dan ia akan kembali kepada api neraka, tapi dia akan membawa kita semua, umat manusia menemaninya di sana.. apakah kamu semua sanggup menerima pelawaan tidak rasmi dari iblis?
Sedarlah wahai saudara seagamaku.. dibakar dengan api dunia itu sangat sakit, kamu boleh cuba sendiri jika ingin merasainya.. tinggalkanlah segala kejahilan dan kemungkaran yang telah kita lakukan.. berubahlah dan berhijrahlah ke arah yang lebih baik mulai saat ini.. jangan tundakan masa lagi.. maut itu tidak menanti kita langsung, walau sesaat.. jadi takkan kita mahu bertaubat setelah maut menghampiri? fikirlah dengan pandangan yang jauh, bahawa dunia ini sekejap sahaja kita duduki dan rasai nikmat, tapi akhirat itu kekal selamanya..
Wahai saudaraku, ajaklah keluargamu, sahabat2mu, jiran2mu, dan sesiapa sahaja yang seagama dengan kita, ajaklah mereka ke arah kebaikan.. sama2 main peranan untuk menegur dan mengelakkan dosa yang dibuat.. moga dengan usaha kita menegur dan cuba memperbetulkan mereka yg jahil dan lalai itu, Allah bukakan pintu hati mereka untuk berubah.. mula dari sekarang, pergilah di pasar, shopping kompleks, bandar2, kampung2, dan di mana jua, tegurlah jika mereka tidak menutup aurat, tegurlah jika mereka tak solat, tegurlah jika mereka berdua2an berpegangan bukan mahram, tegurlah jika mereka berbuat jahat dan bermaksiat pada Allah, tegurlah wahai sahabatku..
Janganlah kita mengambil sikap membiarkan saudara2 kita membuat maksiat, janganlah takut untuk menegur mereka, sayangilah mereka kerana Allah, sayangi mereka dengan menegur mereka supaya mereka tidak dibakar.. Cubalah dan mulakan dengan ahli keluarga.. jangan takut pada masyarakat, kita memegang amanah Allah, membawa pesanan Allah untuk mereka, ia satu jihad juga.. tolonglah wahai saudaraku, kita mulakan.. jangan biarkan saudara islam kita dirosakkan sewenang2nya oleh yahudi dan nasrani atau org2 barat..
Kepada pemimpin, hentikanlah membiarkan arak berleluasa, hentikan kezaliman terhadap rakyat, hentikan dan tutuplah pusat hiburan, jalankanlah undang2 islam.. hentikanlah ribda dan rasuah.. nanti kamu akan disoal di hari akhirat di hadapan semua orang, apakah kamu sanggup menanggung dosa sebesar alam ini dari setiap manusia yang menjadi mangsa kerosakan yang telah dilakukan? bangkitlah wahai pejuang2 islam.. bangkitlah wahai tentera islam.. bangkitlah wahai manusia yang mengaku Allah tuhan kamu dan Muhammad rasul kamu.. bangkitlah, Allahuakbar!!!

Read more...

Al-Quran : Surah Terbaik & Bacaan Gagap Lebih Baik?


quranlight2.jpg
Assalamualaikum wrt,
Berkenaan hadith nabi yang menyebutkan bahawa dua ganjaran bagi orang yang membaca al-quran dengan kepayahan kerana tidak lancar. Adakah ganjaran itu melebihi ganjaran pahala orang yang membaca lancar? Biasanya kalau dengar di ceramah-ceramah, penceramah selalu menyebut bahawa pahalanya melebihi pahala orang yang membaca lancar. Tapi baru-baru ini, saya ada terima email yang memetik dari kitab fadhilat amal dan pendapat yang diberi adalah bertentangan. Mohon penjelasan. Terima kasih.

Jawapan
Berpandukan kepada pertanyaan saudari, di sana ada dua kemungkinan, iaitu :-

  • 1)    Penceramah tersilap ; Jika ia benar-benar diucapkan oleh penceramah, ternyata sang penceramah tidak melakukan homework dengan baik atau mengambil informasi secara rambang tanpa mempelajari atau merujuk kepada sumber dengan tepat. Hasilnya timbulkan kenyataan silap sebagaimana yang diberi.


  • 2)    Saudari selaku pendengar tersilap ; mungkin juga, penceramah menerang dengan betul, cuma saudari selaku pendengar yang tersilap menangkap point yang diberikan oleh pencermah berkenaan.

Tanpa perlu kita pergi lebih jauh untuk mencari salah siapa, adalah lebih baik saya jelaskan letak duduk sebenar dalam hal pahala membaca Al-Quran walau dalam keadan tergagap dan tersekat-sekat, serta perbandingannya dengan pahala bacaan mereka yang lancar.
Hadis yang sewajarnya menjadi rujukan dalam bab ini adalah seperti berikut :-
الماهر بالقرآن مع السفرة الكرام البررة والذي يقرأ القرآن ويتتعتع فيه وهو عليه شاق له أجران
Ertinya : Orang yang mahir membaca Al-Quran akan bersama para Rasul yang ta'at, manakala orang yang membaca Al-Quran walau dalam keadaan tersekat dan tergagap, dan padanya kesukaran, baginya dua pahala. ( Riwayat Muslim, no 1329, 1/550)
Jika dilihat dari huraian kebanyakan para ulama silam, kecenderungan tafsiran mereka terhadap hadis di atas adalahbukan pada ‘membaca sambil melihat Al-Quran' tetapi lebih kepada membaca secara hafalan. Mungkin disebabkan zaman tersebut, menghafal Al-Quran sudah menjadi kebiasaan hampir bagi semua umat Islam, khususnya para ulama. Justeru hampir tidak timbul masalah membaca sambil melihat al-quran lagi.
Imam An-Nawawi menghuraikan bahawa maksud orang yang mahir dalam hadis di atas adalah mereka yang bijak dan sempurna hafalan serta tidak sukar membaca ayat-ayat Al-Quran. Manakala mereka yang menghafal dan bacaannnay tersekat-sekat, maka baginya dua pahala, iaitu pahala bacaan serta pahala melawan kesukaran yang dihadapinya. (Syarah Sohih Muslim)
Namun demikian, terdapat juga ulama silam dan kontemporari khususnya yang memasukkan orang yang membaca al-Quran secara melihat mushaf juga di dalam konteks hadis di atas. Ini kerana hadis tersbeut tidak menyebut kalimah hafazan dengan jelas, ia hanya menyebut ‘baca', justeru adalah lebih tepat untuk tidak mengkhususkannya kepada hafazan semata dan menidakkan kelebihan bagi yang membaca dari mushaf.
Pandangan kedua ini lebih tepat dan kuat serta amat bertepatan dengan keadaan umat Islam hari ini yang semakin sedikit di antara mereka yang mampu membaca Al-Quran dengan baik, walau dengan cara melihat mushaf.
Berkenaan perbandingan yang ditanyakan, ulama besar mazhab Maliki, Al-Qadhi ‘Iyadh berkata hadis di atas sama sekali tidak bermaksud meraka yang tersekat dan gagap lebih baik daripada si pembaca lancar dan tepat, kerana kelebihan yang disebut bagi orang yang mahir iaitu bersama para Rasul adalah jauh lebih besar dan tidak sama sekali mampu ditandingi oleh dua pahala yang diperuntukkan bagi mereka yang kurang mahir.
Memang benar, malah tidak munasabah sama sekali bacaan mereka yang tidak lancar lebih besar pahalanya daripada yang lancar. Jika demikian keadaanya, lebih baik, jangan lancar bacaan sampai bila-bila, bukankah itu tidak logic lagi tidak bertepatan dengan kefahaman aqal yang waras.
Dari penjelasan tersebut, kesimpulannya hadis Nabi s.a.w tadi sebenarnya bukanlah diungkap dengan tujuan membuat perbandingan pahala di antara satu sama lain, tetapi ia lebih kepada penjelasan kelebihan tersendiri bagi kedua-dua keadaan pembaca Al-quran. Bermakna, bagi yang mahir, ada ganjarannya yang tersendiri, demikian juga bagi yang masih belum begitu mahir. Justeru, teruskan usaha bagi yang belum mahir agar mencapai tahap mahir dan setersunya meraih kebaikan yang ditawarkan.
SURAH APA YANG TERBAIK DIBACA?
Timbul persoalan berkaitan surah apakah yang terlebih baik untuk dibaca pada akhir Ramadhan ini.
Jawapan yang paling tepat adalah seluruh al-Quran, namun bagi mereka yang tidak mampu, cuba perhatikan baik-baik sabdaan baginda Nabi ini:-
اقرءوا القرآن فإنه يأتي يوم القيامة شافعا لأصحابه اقرءوا الزهراوين البقرة وآل عمران فإنهما يأتيان يوم القيامة كأنهما غمامتان أو غيايتان أو فرقان من طير صواف تحاجان عن صاحبهما اقرءوا البقرة فإن أخذها بركة وتركها حسرة ولا يستطيعها البطلة
Ertinya : Bacalah Al-Quran kerana di hari qiyamat kelak ia akan datang memberikan syafa'at kepada tuannya, bacalah dua cahaya iaitu AL-BAQARAH dan ALI-IMRAN, kerana ia berdua akan datang dihari qiyamat kelak seperti dua awan besar atau sekumpulan burung yang akan melindungi tuannya, bacalah AL-BAQARAH kerana sesiapa yang mengambilnya akan mendapat berkat, meninggalkannya adalah penyesalan, dan yang mengambilnya dapat menghalang sihir. (Riwayat Muslim)
Para ulama menjelaskan, pahala bacaannya akan bertindak seperti awan dan sekumpulan burung yang menaungi pembacanya dengan seperti teduhan sayap burung atau awan. Dalam hadis sohih yang lain disebutkan kedua-dua surah ini akan mendahulu pahala dari surah-surah lain.
Banyak lagi surah-surah lain yang mempunyai kelebihan tersendiri, disebut dalam banyak hadis-hadis Baginda Nabi sa.w, namun cukuplah jawapan ringkas saya setakat ini mencadangkan dua surah ini sebagai tunjang bacaan Al-Quran kita.

Read more...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

GURU-GURU BADAR

GURU-GURU BADAR

LUJNAH BADAR PUTERA

LUJNAH BADAR PUTERA

Jom sertai Badan Dakwah & Rohani SMKAY