Sudah jatuh ditimpa tangga, itulah yang boleh dikatakan kepada pemilik wang syiling RM75,000 yang mengalami kemalangan di Kilometer 244 Lebuhraya Utara-Selatan (Plus), dekat susur keluar Pedas. Menurut laporan akhbar-akhbar tempatan, orang ramai dikatakan berpusu-pusu menghentikan kenderaan mereka, sebahagiannya bukan untuk menolong mengutip dan mengembalikan wang yang berteraburan itu tetapi sebaliknya mengambil dan melarikan semua wang syiling yang dikutip.
Tentunya penghargaan wajar diberikan kepada mereka yang datang membantu tetapi bagi mereka yang mengambil kesempatan melarikan wang terbabit, kejadian seperti ini amat mendukacitakan dan jelas memperlihatkan betapa rakusnya nafsu keinginan kepada wang.
Mereka sama sekali tidak mengendahkan persoalan hukum. Demikian amaran Nabi Muhammad: “Akan sampai satu zaman dimana manusia tidak lagi menghiraukan dari sumber mana diperolehi hartanya, sama ada dari yag halal atau yang haram” (Riwayat Al-Bukhari)
Lebih teruk dari itu, tiada lagi rasa ‘malu’ dan hiraukan kecederaan tuan punya wang yang berada di tempat yang sama. Mereka juga tidak menghiraukan keselamatan diri mereka sendiri sehingga dilaporkan ada yang mengutipnya di tengah-tengah lebuh raya, sehingga terpaksa akhirnya pihak berkuasa menutup laluan bagi memastikan tiada kemalangan nyawa akibat kerakusan itu.
HUKUM BARANG JUMPA
Bayangkan di dalam Islam, setiap harta yang dijumpai dan tidak diketahui pemilik pun tidak boleh kita nikmati sebelum melalui proses tertentu. Harta yang ditemui tanpa diketahui pemilik dinamakan ‘Luqatah’ di dalam ilmu Fiqh Islam.
Nabi menyatakan: “Barangsiapa yang menumpai sesuatu harta, maka wajiblah dia memaklumkannya (bersaksi) dia menjumpainya kepada orang yang adil atau pihak berkuasa, tidak boleh sama sekali dia menyembunyikan dan menghilangkannya. Sekiranya dapat dijumpai pemiliknya wajiblah dia mengembalikan wang terbabit, jika gagal maka harta tadi adalah dikira milik Allah dan boleh disedeqahkan kepada sesiapa yang diingini.” (Riwayat Abu Daud)
Imam Al-Khattabi menghuraikan, ia hanya boleh dimanfaatkan oleh yang menjumpainya setelah mencari pemilik tersebut dalam tempoh satu tahun. (Aunul Ma’bud, hlm 101).
Itu perbincangan hukum menjumpai harta dan panjang lagi perbincangannya dalam mazhab-mazhab Fiqh Islam, cuma dapat kita lihat betapa Islam mengajar umatnya agar sentiasa peka dan berhati-hati dalam apa jua harta yang diterima. Malah yang dijumpai pun belum tentu boleh dimanfaatkan. Apatah lagi untuk mengganggap ia sebagai ‘rezeki terpijak’ atau ‘durian runtuh’.
Jika demikian displin Islam dalam bab harta yang dijumpai, tentulah Islam sangat melarang sesiapa juga mengambil kesempatan mencuri, merompak dan melarikan wang yang tercicir akibat kemalangan sedang diketahui tuannya sedang dalam kesakitan.
Sebenarnya keadaan ‘mengambil kesempatan’ di atas sesuatu musibah dan kemalangan ini bukan hanya merujuk kepada kes di atas, tetapi telah banyak kali dapat kita baca disiarkan oleh media massa. Ada yang mengambil kesempatan semasa kebakaran, gempa bumi dan sepertinya, mereka mencuri barangan tuan rumah yang terpaksa ditinggalkan.
Teringat pernah diwartakan suatu ketika dahulu, bagaimana mangsa yang cedera parah dan yang maut akibat kemalangan dicuri dompet dan barangan berharga mereka yang terdapat di dalam kenderaan. Semuanya dilakukan oleh sebahagian penyamun dari kalangan orang ramai yang berkerumun yang kononnya ingin membantu, keadaan itu menyukarkan tugas polis untuk mengenal mangsa.
Tidak kurang juga yang merompak semasa demonstrasi dan yang lebih teruk pernah dilaporkan, seorang pegawai sukarela menangkap pelaku khalwat, menerima rasuah dan ada yang merogol mangsa ketika dalam perjalanan menghantarnya ke rumah ibubapa mangsa. Begitu buruknya sifat dan sikap manusia seperti ini.
CERMINAN MASYARAKAT KITA?
Gambaran-gambaran di atas sebenarnya mampu memberikan sedikit idea berkenaan sikap sebahagian besar masyarakat kita hari ini. Sikap tidak amanah apabila berhadapan dengan peluang mendapat wang dan peluang mudah, dengan segera disambar tanpa menghiraukan kesan luka di dalam hati mangsa. Disebabkan oleh sifat sebegini rasuah masih gagal dihentikan, keterlibatan dalam skim cepat kaya, skim piramid dan pelbagai skim menipu masih terus berkembang dan mendapat mangsa. Semuanya disebabkan sifat kerakusan malas mengkaji dan tanpa ilmu yang menyubur, menyebabkan diri tersangkut di dalam jerat pendapatan kononnya cara mudah.
DOSA BERGANDA
Dosa bagi mereka yang mengambil kesempatan di atas kesusahan orang lain adalah lebih besar berbanding dosa biasa. Merampas dan meragut sememangnya merupakan suatu dosa. Namun apabila ia dilakukan di ketika pemilik harta dalam keadaan cedera kemalangan sama ada di jalanraya atau kemusnahan di dalam rumah. Dosa penjenayah terbabit BERGANDA, KEHINAAN mereka di sisi Allah juga menjadi berganda.
Hal itu hampir sama seperti mengenakan caj penalti di ketika peminjam tidak mampu melunaskan hutangnya, dan berada di dalam situasi yang benar-benar sukar. Dalam keadaan itu, pemberi pinjam sewajarnya memberikan waktu kelegaan bagi meringan beban peminjam dan bukan menjerut leher mereka dengan menambah hutang mereka dengan caj penalti yang membebankan. Ia adalah riba dan Ibn Qayyim menegaskan pengharamanya disebabkan kezaliman jelas yang terkandung dalam tindakan tersebut.
WAJIB PULANGKAN
Justeru, saya ingin menasihatkan mana-mana individu yang terlibat mengutip dan melarikan wang tercicir di dalam kemalangan di lebuhraya kelmarin, agar segera bertaubat dan memulangkan wang terbabit kepada pemiliknya walau ia bernilai beberapa ringgit.
Nabi bersabda: “Tidak halal bagi seorang Muslim untuk menakutkan Muslim yang lain, dan apabila seorang kamu mengambil hak milik saudaranya yang lain, wajiblah dia memulangkannya kembali.” (Riwayat At-Tirmidzi, Abu Daud)
Nabi juga mengingatkan: “Tidak halal harta yang dimiliki oleh seseorang Muslim (untuk diambil oleh orang lain) kecuali diizinkan olehnya.” (Riwayat Ahmad)
Tanpa memulangkan kembali, ia bakal menjadi suatu beban di dalam kuburan kelak. Ia amat jelas wang yang haram digunakan oleh mereka dan perlu disedari dosa tindakan itu berganda-ganda kerana sebab yang dinyatakan di atas.
KESIMPULAN
Kes kemalangan di lebuhraya itu hanyalah sebagai contoh kepada semua jenis insiden kemalangan yang lain. Amat perlu masyarakat kita diingatkan agar tidak sama sekali mengambil kesempatan di atas kesusahan orang lain.
Walaupun sekali pandang, kes ini kelihatan kecil dan remeh tetapi hakikatnya ia adalah besar kerana memberi cerminan sikap masyarakat kita yang amat gersang dari pengisian rohani dan etika, sehingga tergamak mengambil kesempatan di atas kesusahan orang. Ia juga membimbangkan kerana melambangkan sikap pentingkan diri sendiri sudah begitu hampir ke tahap kemuncak kejahatan kejahatan.
Jika demikian sikap mereka terhadap duit beberapa sen dan ringgit sahaja, bayangkan jika di hadapan mereka adalah wang yang lebih besar.
Pihak berwajib dan mana-mana pihak yang punyai kuasa sama ada di peringkat keluarga, masyarakat, negeri dan negara tidak boleh memandang ringan insiden ini kerana ia jelas memerlukan satu plan terbaik untuk merawat pembangunan kerohanian, integriti dan etika masyarakat.
Tidak dinafikan, ia juga mungkin manifestasi betapa terdesaknya masyarakat ketika menghadapi tekanan perbelanjaan harian yang semakin meningkat dewasa ini. Tekanan yang semakin mendesak boleh mengakibatkan seseorang bertindak seperti hilang aqal.
Semoga kita semua mampu berperanan dalam ruang lingkup kuasa kita selain berteriak meminta pihak itu dan ini untuk bertindak. Jalan yang terbaik untuk memulihkan masalah ini adalah mulakan dengan diri dan keluarga sendiri.
Artikel oleh: UZAR
No comments:
Post a Comment