Rasulullah s.a.w kekasih Allah wafat ditangisi oleh makhluk seluruh alam. Namun apa yang selama ini telah dikisahkan kepada kita yakni kisah wafatnya Nabi dengan menyebut kalimah “Ummati, ummati, ummati” yang membawa maksud “Umatku, umatku, umatku” adalah jelas suatu pembohongan dan rekaan cerita dari mereka yang tidak bertanggungjawab dan sekaligus menyebarkan ia menjadikan kita semua menjadikan ia suatu kata-kata yang sahih. Mari baca kisah sebenar kewafatan baginda Rasulullah s.a.w..
Kisahnya bermula…
“Kepalaku!” kata Aisyah.
Baginda Rasulullah s.a.w dan Aisyah r.a baru sahaja pulang daripada menziarahi perkuburan al-Baqi’ lewat malam tadi. Kepala Aisyah sakit berdenyut-denyut. Baginda menyedarinya.
“Bahkan kepalaku juga wahai Aisyah. Oh kepalaku!” kata Baginda s.a.w.
Jika suami pening, tangan isteri yang memicit banyak mendatangkan rasa lega. Jika isteri yang sakit, belaian seorang suami adalah penyembuh paling berharga. Tetapi di malam itu kedua-duanya sakit. Kepala mereka berat.
“Janganlah engkau bersusah hati wahai Aisyah. Seandainya engkau mati sebelumku, nescaya aku akan menyempurnakan urusanmu. Aku akan mandikan dikau, kukafankan dirimu dan akan kudirikan solat buatmu serta engkau akan kukebumikan!!”, usik sang suami.
“Demi Allah, aku rasa kalau begitulah kisahnya pasti selepas itu engkau akan pulang ke rumahku dan berpesta gembira dengan isteri-isterimu yang masih hidup!” si isteri tersentak dengan gurauan sang suami.
Merajuk. Nabi s.a.w ketawa. Dalam sakit yang luar biasa itu, baginda masih suami yang hangat dengan mawaddah. Sakitnya tidak menjadikan beliau keluh kesah. Sempat pula mengusik isteri yang tidak tentu rasa.
SAKIT YANG BERTAMBAH
Malam itu berlalu dengan sakit yang tidak beransur kurang. Kesakitan itu memuncak semasa Nabi s.a.w memenuhi giliran Baginda di rumah isterinya, Maimunah r.a. Bukan sakit yang sembarangan. Ia sakit yang menjadi kemabukan sebuah kematian. Sakaraat al-Maut!
“Esok aku di mana? Esok aku di mana?” Baginda s.a.w bertanya.
Dalam sakit yang bersangatan, Baginda masih ‘sedar’ akan tanggungjawab dirinya berlaku adil kepada para isteri. Itulah ukuran adil seorang mukmin terhadap isteri-isterinya. Mengusahakan segala tenaga yang berbaki untuk tidak memalit zalim dalam melunaskan amanah sebagai seorang suami. Tidak mengambil mudah hanya dengan alasan yang remeh temeh untuk melebihkan seorang isteri berbanding yang lain.
Itulah juga ukiran makna bagi sebuah Mawaddah. Cinta yang bertambah hasil kesungguhan mengatasi ujian dan musibah. Namun di situlah terselitnya Rahmah. Sifat belas ihsan yang terbit daripada hati yang mengasihi.
“Izinkan aku berhenti bergilir dengan menetap di rumah Aisyah” Rasulullah s.a.w meminta izin daripada para isterinya.
Siapakah yang pernah membantah permintaan seorang Rasul. Namun Baginda tetap meminta izin kerana keizinan itu hakikatnya kekal bagian seorang isteri. Tiada isteri yang dipinggirkan. Hak masing-masing dihormati. Andaikata seorang Rasul boleh meminta izin menahan giliran daripada isteri Baginda, bagaimana mungkin seorang suami menjadi angkuh mempertahankan haknya di hadapan isteri atau isteri-isterinya?
HARI-HARI TERAKHIR
Masruq meriwayatkan daripada Aisyah r.a: Tatkala Baginda s.a.w gering, kesemua isteri Baginda berada di sisi. Tiada seorang pun yang tercicir antara mereka. Ketika mereka berhimpun, anakanda kesayangan Baginda s.a.w, Fatimah r.a datang berjalan. Demi sesungguhnya cara berjalan Fatimah tidak ubah seperti ayahandanya, Rasulullah s.a.w.
“Selamat datang wahai anakandaku,” Baginda s.a.w dengan suara yang lemah menjemput Fatimah duduk di sisinya.
Baginda membisikkan sesuatu ke telinga Fatimah. Anakanda itu menangis. Kemudian Baginda s.a.w membisikkan sesuatu lagi ke telinga anak kesayangannya. Fatimah ketawa.
Apabila Fatimah bangun dari sisi ayahandanya, Aisyah r.a bertanya, “Apakah yang diperkatakan oleh Rasulullah s.a.w hingga menyebabkan engkau menangis dan engkau ketawa?”
Fatimah menjawab, “Aku tidak akan mendedahkan rahsia Rasulullah s.a.w!”
Demi sesungguhnya, selepas wafatnya Baginda s.a.w, Aisyah r.a mengulang kembali soalan yang sama kepada Fatimah, “Aku bertanyakan engkau soalan yang engkau berhak untuk menjawab atau tidak menjawabnya. Aku ingin sekali engkau memberitahuku, apakah rahsia yang dikhabarkan oleh Rasulullah s.a.w dahulu?”
Kata Fatimah, “Ada pun sekarang, maka ya, aku bisa memberitahunya! Baginda s.a.w berbisik kepadaku dengan berkata: Sesungguhnya Jibril selalunya mendatangiku untuk mengulang semakan Al-Quran sekali dalam setahun. Namun di tahun ini beliau mendatangiku dua kali. Tidaklah aku melihat kelainan itu melainkan ia adalah petanda ketibaan ajalku. Justeru, bertaqwalah kepada Allah dan bersabarlah kamu dengan ketentuan ini. Atas segala yang telah ditempuh dalam kehidupan ini, sesungguhnya aku adalah untukmu wahai Fatimah!”
Aku menangis…
“Kemudian Baginda s.a.w berbisik lagi kepadaku dengan berkata: Apakah engkau gembira kalau aku khabarkan kepadamu bahawa engkau adalah penghulu sekalian wanita di Syurga? Dan sesungguhnya engkau adalah insan pertama yang akan menurutiku daripada kalangan ahli keluargaku!, aku ketawa”, sambung Fatimah.
Sesungguhnya Fatimah r.a benar-benar kembali kepada Allah, menuruti pemergian ayahandanya enam bulan selepas kewafatan Baginda s.a.w. Benarlah beliau ahli keluarga pertama Baginda yang pergi. Dan benarlah kalam utusan Allah, Rasulullah s.a.w!
DETIK SEMAKIN HAMPIR
Dhuha itu tepu dengan kegelisahan. Senyuman yang dilemparkan Baginda s.a.w kepada Abu Bakar dan sahabat semasa mereka mengerjakan solat Subuh tadi, benar-benar mengubat rindu mereka. Namun para sahabat tidak tahu bahawa kerinduan mereka hanya terubat seketika, dan mereka akan kembali merindui wajah itu, buat selamanya. Senyuman itu bukan senyuman kesembuhan. Ia adalah senyuman perpisahan.
Badan Baginda s.a.w semakin panas. Sesekali ada dengusan yang keras dari nafas kekasih Allah itu mendepani mabuknya kesakitan sebuah kematian.
“Laknat Allah ke atas Yahudi dan Nasrani, mereka menjadikan kubur-kubur Nabi mereka sebagai masjid!” bibir Baginda s.a.w masih tidak berhenti menuturkan pesan-pesan yang penting buat umat yang bakal dilambai perpisahan.
Aisyah r.a meneruskan catatannya: Aku melihat sendiri Rasulullah s.a.w mendepani kematian Baginda. Kami ketika itu berbicara sesama kami bahawa sesungguhnya Nabi s.a.w tidak akan meninggal dunia sehinggalah Baginda membuat pilihan antara Dunia dan Akhirat. Tatkala Baginda s.a.w semakin gering mendepani kematian, dalam suara yang serak aku mendengar Rasulullah s.a.w berkata: Aku bersama dengan orang yang diberikan nikmat oleh Allah ke atas mereka daripada kalangan para Nabi, Siddiqin, Syuhada’ dan Solihin, dan itulah sebaik-baik peneman yang menemankan aku!
Dan tahulah kami, Baginda s.a.w telah menyempurnakan pilihannya itu. Dalam kegeringan itu, aku sandarkan tubuh Rasulullah s.a.w rapat ke dadaku. Telingaku menangkap bicara lemah di ambang kematian, Baginda s.a.w berbicara: Allahumma, ampunkanlah diriku, rahmatilah aku, dan temukanlah aku dengan-Mu, Temanku yang Maha Tinggi.
Ketika Baginda s.a.w bersandar di dadaku, datang adikku, Abdul Rahman bin Abi Bakar dengan siwak yang basah di tangannya. Aku menyedari yang Baginda s.a.w merenung siwak itu, sebagai isyarat yang Baginda menggemarinya. Apabila ditanya, Baginda s.a.w mengangguk tanda mahukan siwak itu. Lalu kulembutkan siwak itu untuk Baginda dan kuberikan kepadanya. Baginda cuba untuk melakukannya sendiri tetapi ketika siwak yang telah kulembutkan itu kena ke mulut Baginda, ia terlepas daripada tangan dan terjatuh. Air liurku bersatu dengan air liur Rasulullah s.a.w di detik akhirnya di Dunia ini, dan detik pertamanya di Akhirat nanti.
Di sisinya ada sebekas air. Baginda s.a.w mencelupkan tangannya dan kemudian menyapu wajahnya dengan air itu lalu berkata: Laa Ilaaha Illallaah! Sesungguhnya kematian ini kesakitannya amat sakit hingga memabukkan! Allahumma, bantulah aku mendepani Sakaraat al-Maut ini!
Baginda s.a.w mengangkat jari kirinya ke langit lalu berkata: Kembalilah aku kepada Teman yang Maha Tinggi! Kembalilah aku kepada Teman yang Maha Tinggi! (Allahumma Rafiqul A’laa)”
Tangan itu layu. Jatuh ke dalam bejana. Leher Baginda s.a.w terkulai di dada Aisyah. Pencinta Ilahi yang rebah di pelukan isteri tercinta. Melambai pergi ummah yang dirindui. Pencinta yang agung itu telah mati. Tetapi cintanya harum hingga ke detik ini.
Innaa Lillaah wa Innaa Ilayhi Raaji’un.
Sesungguhnya Allah dan malaikatNya berselawat kepada Nabi. Wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya. [Al-Ahzaab 33: 56]
Artikel oleh: Saiful Islam
Ustaz Azhar Idrus: Berkata Aisyah r.a: Adalah akhir kalimah yang diucapkan oleh Nabi s.a.w ialah “Allahumma Rafiqul A’laa” (Hadith Riwayat Bukhari & Muslim)
No comments:
Post a Comment